Isnin, 26 Januari 2015 | 1:39pm
DUA pelajar Kolej Shahputra Kuantan maut selepas Perodua Viva yang mereka naiki melanggar belakang bas ekspres di KM153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan dekat Maran, tengah malam tadi. - Foto Shahrulnizam Mohamad
DUA pelajar Kolej Shahputra Kuantan maut selepas Perodua Viva yang mereka naiki melanggar belakang bas ekspres di KM153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan dekat Maran, tengah malam tadi. - Foto Shahrulnizam Mohamad

2 pelajar kolej maut kereta langgar bas di LPT

KUANTAN: Dua pelajar Kolej Shahputra Kuantan maut selepas Perodua Viva yang mereka naiki melanggar belakang bas ekspres di KM153.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan dekat Maran, tengah malam tadi.

Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Aimi Sarah Abd Hissam, 20, berasal dari Taman Muda Cheras, Kuala Lumpur dan penumpang hadapan, Nurul Aida Ahmad Tajuddin, 20, dari Setiawan, Perak.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, DSP Mohd Noor Yusof Ali, berkata kemalangan berlaku pada 12.45 tengah malam semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar bahagian belakang bas ekspres yang berhenti di lorong kecemasan.

"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bas terbabit berhenti di lorong kecemasan kerana seorang penumpang tiba-tiba mengalami sakit perut dan terdesak hendak membuang air besar.

Mohd Noor berkata, bagaimanapun pemandu bas terbabit bersama semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X