Selasa, 27 Januari 2015 | 8:47pm

Kesatuan guru tidak sokong cadangan rotan anak sebagai kesalahan jenayah

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan (KKGDPP) tidak bersetuju dengan cadangan menetapkan tindakan merotan anak sebagai kesalahan jenayah dalam undang-undang kanak-kanak yang baharu.

Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, kongres itu berharap cadangan tersebut dikaji secara menyeluruh terutama dari aspek budaya dan agama masyarakat Malaysia sebelum dibentangkan di Parlimen.

"Kami berpendapat di Malaysia kita gabungkan budaya dan agama dalam mendidik anak-anak dan saya lihat banyak pihak juga tidak menyokong akta yang menjadikan ibu bapa sebagai sasaran.

"Bahkan di sekolah pun ada prosedur operasi standard (SOP) dalam menghukum pelajar yang bukan mendera tetapi berdasarkan kesalahan pelajar," katanya kepada pemberita selepas pertemuan KKGDPP bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memasukkan peruntukan yang lebih terperinci mengenai tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental kepada kanak-kanak termasuk perlakuan merotan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak bagi menggantikan Akta Kanak-kanak 2001.

Mohamed Sabri bagaimanapun berkata perkara tersebut tidak dibincangkan secara khusus dalam perbincangan hampir dua jam dengan Muhyiddin. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X