Selasa, 27 Januari 2015 | 9:37pm
IRFAN Shamsuddin memberi keterangan pada pihak media dan memohon maaf kepada Kavee Alagan, MSN dan KOM serta menyesali perbuatannya di Pejabat Pesuruhjaya Sukan. - Foto BERNAMA

Isu gaduh: Muhammad Irfan, Kavee Alagan setuju berdamai

KUALA LUMPUR: Isu pergaduhan dua atlet olahraga negara akhirnya menemui jalan penyelesaian selepas mereka bersetuju untuk berdamai.

Jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet lompat tinggi, A Kavee Alagan bersetuju berbuat demikian selepas hadir pada mesyuarat khas antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Pejabat Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail berterima kasih kepada Pengarah Teknikal KOM, Robert J Ballard yang menjadi orang tengah kepada kedua-dua atlet berkenaan untuk berdamai.

Beliau berkata pihaknya turut menimbang mengembalikan semula elaun latihan serta kemudahan asrama yang sebelum ini ditarik balik kepada kedua-dua atlet itu selain turut disenaraikan dalam program persediaan khusus ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.

"Kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja (dengan KOM) dalam tempoh terdekat mengenai perkara berkenaan," kata Ahmad Shapawi.

Beliau turut menjelaskan pihaknya bekerjasama dengan KOM bagi memastikan laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua atlet berkenaan dapat ditarik semula.

"Kita berhubung dengan pihak polis mengenai perkara tersebut (bagi menarik balik laporan polis) dan mereka menyifatkan ia sebagai satu usaha yang baik," katanya.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berterima kasih kepada kedua-dua atlet berkenaan sambil berharap ia menjadi pengajaran berguna kepada mereka untuk menjadi lebih matang.

Dalam pada itu, Muhammad Irfan, yang ditemui pemberita, mengakui ketiadaan elaun latihan dan kemudahan asrama menyukarkan beliau yang terpaksa berulang alik dari rumah sewanya di Damansara ke Bukit Jalil untuk sesi latihan harian.

"Alhamdulillah, insiden ini sudah selesai dan saya ingin berterima kasih kepada Encik Robert dan KOM yang banyak membantu saya menyelesaikan masalah ini.

"Fokus saya kini adalah ke Sukan SEA," kata Muhammad Irfan yang juga pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera.

Berkongsi nada yang sama adalah Kavee Alagan yang mahu memberi tumpuan kepada persiapan Sukan SEA sambil berharap episod itu menjadi pengajaran berguna untuk mereka.

"Saya pun sudah melupakan perkara ini dan saya berharap ia tidak akan dipanjangkan lagi. Kini saya boleh memberi tumpuan kepada latihan saya untuk ke Sukan SEA nanti," jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua atlet berkenaan terbabit dalam pergaduhan di asrama atlet Casa MSN, Bukit Jalil pada 20 Ogos, tahun lalu.

Berikutan insiden itu, mereka diarah keluar oleh MSN daripada asrama atlet di Bukit Jalil sehingga isu tersebut selesai. -- BERNAMA

Berita Harian X