Khamis, 29 Januari 2015 | 5:47pm

MDeC sedia mempercepatkan penerimaan dan inovasi BDA


DATUK Yasmin Mahmood (kiri) dan Presiden dan Ketua Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah pada sidang media selepas pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

CYBERJAYA: Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) sudah bersedia untuk mempercepatkan penerimaan dan inovasi Analisis Data Besar (BDA) dalam kalangan syarikat Malaysia dengan mewujudkan satu rangkaian Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Yasmin Mahmood, berkata inisiatif itu menumpukan usaha untuk menjalinkan perkongsian swasta dan awam sebagai saluran untuk mewujudkan pengguna utama dalam penerimaan dan inovasi BDA.

Ia juga menjadi langkah terpenting dalam merealisasikan wawasan MDeC untuk menjadikan Malaysia sebagai hab BDA dalam ASEAN, katanya pada pelancaran Pusat Inovasi dan Kecemerlangan BDA di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, tiga Perjanjian Persefahaman dimeterai antara peneraju industri yang diketuai MDeC dengan rakan kongsi utama daripada sektor kerajaan bagi penubuhan tiga Pusat Kecemerlangan (CoE).

Mengikut MoU berkenaan, Fusionex International dan Teradata Corporation Malaysia Sdn Bhd akan membina pusat-pusat kecemerlangan yang bertujuan memacu bidang industri, manakala Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan MIMOS pula akan menubuhkan makmal Kerajaan Digital BDA untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian kebangsaan yang lebih luas.

Yasmin berkata Mou itu akan mengukuhkan usaha dalam penstrukturan rangkaian pusat kecemerlangan kebangsaan dan membantu menggerakkan pakar BDA terbaik negara ini untuk membangunkan projek berimpak tinggi serta pembuktian konsep dalam memacu penerimaan dan inovasi.

"Kami mempunyai matlamat untuk pusat berkenaan mewujudkan ekosistem BDA yang mapan dan meletakkan Malaysia sebagai hab ASEAN melalui penggunaan kepakaran daripada sektor awam dan swasta.

"MDeC akan menyelia keseluruhan program dengan menilai dan meluluskan projek-projek berimpak tinggi selain daripada membantu dan memberi sokongan," katanya. - BERNAMA

16 dibaca
Berita Harian X