Jumaat, 30 Januari 2015 | 9:34pm

Lelaki maut dihempap pokok di Telok Datok

HUJAN lebat dan angin kencang di sini, petang tadi mengakibatkan A Panambalan maut dihempap pokok yang tumbang. - Foto ihsan bomba

KUALA LANGAT: Hujan lebat dan angin kencang di sini, petang tadi mengakibatkan seorang lelaki maut dihempap pokok yang tumbang.

Dalam kejadian pada jam 2.30 petang di hadapan Pejabat Perhutanan Telok Datok itu, mangsa A Panambalan, 54, mengalami kecederaan parah di beberapa anggota dalaman akibat ditimpa pokok.

Seorang saksi, Muhammad Salihin Samad, berkata kejadian yang berlaku kira-kira lima minit itu dimulai dengan hujan lebat, sebelum secara tiba-tiba angin kencang melanda.

"Ketika itu, saya sedang berteduh berdekatan tempat kejadian, manakala mangsa yang maut itu sedang melalui di hadapan saya, yang jaraknya kira-kira 20 meter. Kemudian saya dikejutkan dengan suara orang menjerit dan melihat sebatang pokok tumbang menghempap mangsa.

"Memang ketika kejadian, angin sangat kuat, keadaan agak kelam kabut kerana banyak objek berterbangan di sekitar kawasan kejadian.

"Saya tidak menyangka pula yang maut dihempap pokok, walaupun kejadian hanya berlaku beberapa minit sahaja," katanya ketika ditemui BH di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.44 petang dan tiba di tempat kejadian kira-kira lapan minit kemudian.

"Dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang, sebatang pokok tumbang dan menghempap seorang mangsa berusia 54 tahun yang ketika itu sedang berada di kawasan berkenaan.

"Pihak bomba yang tiba bertindak memotong dahan yang menghempap mangsa yang berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian," katanya.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

Berita Harian X