Sabtu, 31 Januari 2015 | 4:06pm

Pemuda Gerakan kecewa pewartaan Pulau Jerejak lambat

GEORGETOWN: Pemuda Gerakan Pulau Pinang kecewa proses pewartaan Pulau Jerejak sebagai hutan simpan kekal mengambil masa yang panjang, kata Ketua Biro Undang-undang dan Pengaduannya, Jason Loo Jieh Sheng.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP telah enam tahun mentadbir sejak 2008 namun proses pewartaan itu masih tidak dapat diselesaikan dan menggesa agar proses itu dipercepatkan.

Menurut Loo, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh pada November tahun lepas menyatakan kawasan hutan seluas 295 hektar di Pulau Jerejak telah dikenal pasti untuk diwartakan sebagai hutan simpan kekal dan pengukuran sempadan luar kawasan itu telah siap dijalankan.

Loo berkata, Phee juga menyatakan Jawatankuasa Tanah Negeri sedang dalam semakan mengenai Cadangan Pelan Pembangunan Keseluruhan Pulau Jerejak dan pewartaan akan disempurnakan apabila pelan tersebut siap disediakan.

"Itu adalah jawapan Phee semasa menjawab soalan bertulis Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid semasa Sidang Dewan Undangan Negeri pada November tahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Loo turut mendakwa kenyataan setiausaha politik Ketua Menteri, Wong Hon Wai kelmarin sengaja mengelirukan rakyat Pulau Pinang dengan mengatakan kerja pewartaan itu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

"Beliau memutarbelitkan fakta dalam kenyataannya mengatakan 51 peratus tanah di Pulau Jerejak dimiliki UDA (Perbadanan Pembangunan Bandar), sebuah agensi Kerajaan Pusat dan ini seolah-olah ingin menolak tanggungjawab kepada orang lain," katanya.

Loo berkata, sebenarnya jumlah keluasan Pulau Jerejak adalah 359 hektar dan kawasan yang dikenal pasti oleh kerajaan negeri terdahulu sebagai kawasan hutan simpan adalah seluas 295 hektar.

"Kawasan ini tidak ada kena mengena langsung dengan UDA...ia adalah tanah milik kerajaan negeri," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X