Sabtu, 31 Januari 2015 | 8:31pm

Hodak, Zainal sama-sama yakin julang trofi


Zainal Abidin Hassan (kiri) dan Bojan Hodak.

KUALA LUMPUR: Kemenangan pasukan banyak dikaitkan dengan strategi bijak jurulatih dan hakikat itu tidak berbeza buat Bojan Hodak dan Zainal Abidin Hassan.

Malam ini, kedua-dua pengendali tersohor akan membimbing pasukan masing-masing - Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang untuk memburu mahkota kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah di Larkin.

Hodak dan Zainal akur satu saingan sukar bakal diharungi anak didik masing-masing dalam perlawanan Sumbangsih ini yang akan menjadi pembuka tirai Liga Malaysia 2015

Namun, tekad dan azam mereka sama - suntik semangat kepada anak buah dan memberi kepercayaan kepada mereka bahawa kejayaan mampu dilakar dengan sifat yakin.

"Barisan pemain yang beraksi untuk JDT pada musim ini cukup mantap dan saya bersikap terbuka untuk memilih kesebelasan utama dengan corak taktikal yang lebih baik.

"Malah saya lihat kita memiliki kekuatan di setiap posisi," kata Hodak.

JDT musim ini dikuatkan dengan kehadiran enam pemain baharu iaitu Junior Eldstal, S Kunanlan, S Chanturu, Amer Saidin, Mohd Fandi Othman dan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Bagi Pahang, kejayaan memenangi trofi pembuka dan penutup Liga Malaysia musim lepas cukup membanggakan dan mahu diulang.

"Kita tidak nafikan kekuatan JDT memang ketara kerana memilik ramai pemain bintang dan baru, tapi bagi Pahang kami tetap pegang kepada semangat berpasukan.

"Saya mengekalkan pemain lama kerana mereka sudah serasi bersama. Kami sudah laksanakan tugas dengan baik sebelum ini dan boleh mengulanginya," katanya.

Berita Harian X