Isnin, 2 Februari 2015 | 5:38pm

Tiada kekurangan bekalan petrol, diesel di Miri - KPDNKK

MIRI: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Miri hari ini menafikan bahawa wujud masalah kekurangan bekalan petrol diesel di bandar raya ini sejak semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Alexander Averon Suwin, berkata hanya dua stesen minyak milik Petronas dan Shell dilaporkan menghadapi masalah menjual bekalan kepada pengguna di sini.

Beliau berkata pemeriksaan di stesen Petronas di Lambir mendapati petrol RON95 dan diesel kehabisan stok sejak petang semalam.

"Bagaimanapun, bekalan dijangka pulih apabila stesen itu menerima sebanyak 28,000 liter petrol dan 10,000 liter diesel hari ini," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata punca utama kekurangan petrol dan diesel di stesen berkenaan adalah disebabkan lori tangki minyak tidak menghantar bekalan RON95 dan RON97 dari Bintulu semalam.

Alexander berkata stesen kedua milik Shell di Lambir tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan tetapi mengalami masalah teknikal sehingga memaksa pemilik menjalankan operasi secara manual.

Bagaimanapun, katanya, masalah teknikal di stesen berkenaan dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh dua jam.

Beliau menegaskan bahawa pengguna tidak perlu panik kerana buat masa ini bekalan petrol dan diesel di 24 stesen di bandar raya ini adalah lebih mencukupi. - BERNAMA

Berita Harian X