Khamis, 5 Februari 2015 | 12:35pm

11street sasar 11,000 penjual berdaftar tahun ini

[email protected]


Laman web 11street Malaysia.

KUALA LUMPUR: 11street, peneraju e-dagang terbesar Korea, kini membuka pendaftaran kepada penjual tempatan untuk menyertai 11street Malaysia menerusi www.11street.my.

Ketua Pegawai Eksekutif 11street Malaysia, Hoseok Kim, berkata versi Malaysia 11street dijadual untuk pelancaran rasmi kepada pembeli pada bulan April 2015, selaras usaha syarikat untuk menjadi tempat pemasaran e-dagang nombor satu di negara ini.

Ditubuhkan di Korea pada tahun 2008, 11street adalah antara peneraju e-dagang dunia dengan bisnes di Turki dan Indonesia. Setakat ini, 11street mempunyai 22 juta pedagang, lebih 40 juta pengguna di seluruh dunia dengan nilai dagangan tahunan AS$6 bilion (RM21.5 bilion).

Mengikut Hoseok, syurga membeli-belah dalam talian 11street di Malaysia adalah seiring komitmen syarikat untuk menawarkan pengguna tempatan platform e-dagang yang boleh dipercayai dan mudah, yang mana mereka boleh membeli pelbagai produk pada bila-bila masa.

"Ia akan menjadi tempat e-dagang yang pertama di Malaysia yang menggalakkan bukan saja produk fizikal tetapi juga tawaran niaga seperti e-baucar, untuk membolehkan pembeli menikmati pengalaman beli-belah dalam talian yang lebih bermanfaat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, syarikat ingin memupuk pertumbuhan e-dagang dan meningkatkan kematangan industri dengan membantu perniagaan tempatan terutamanya PKS untuk meneroka peluang perniagaan menerusi platform e-dagang.

Justeru, 11street akan melabur RM35 juta tahun ini dalam pelbagai program pembangunan penjual, pemasaran dan promosi untuk membantu penjual tempatan berdaftar. Pada masa sama, ia bertujuan menarik pembeli untuk melawat 11street sekali gus mempercepatkan jangkauan penjual dalam talian kepada pengguna.

11street menyasar sekurang-kurangnya 11,000 penjual berdaftar pada tahun 2015 untuk memastikan penyampaian pengalaman beli-belah yang diperkaya dengan pelbagai produk dan perkhidmatan yang menarik.

Berbanding laman web e-dagang lain, 11street mempunyai model e-dagang hibrid, menerusi ekosistem yang boleh menyokong semua jenis penjual, termasuk penjual individu, e-usahawan, peruncit, peneraju perkhidmatan dan perniagaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS).

Dilengkapi dengan ciri 'merchandizing' dalam talian, 11street dapat menyokong penubuhan perniagaan online yang sempurna. 'Zon Penjual' adalah pusat pendidikan e-dagang serta menyokong peniaga e-dagang. 'Zon Penjual' adalah antara pelaburan 11street yang paling penting untuk mengembangkan sektor e-dagang Malaysia.

Bahagian penjual 11street kini dibuka untuk pendaftaran. Manfaat komersial eksklusif seperti yuran kedai percuma, 50 peratus diskaun ke atas yuran transaksi, penggunaan kemudahan Zon Penjual yang percuma, kredit promosi dan kupon penyenaraian produk, akan diberikan untuk penjual baharu yang berdaftar sebelum April 2015. Faedah menarik lain termasuk kredit beli-belah 11street, baucar petrol dan baucer filem akan ditawarkan kepada penjual baru.

Untuk pendaftaran penjual, sila layari http://www.11street.my.

11street di Malaysia akan dihoskan Celcom Planet Sdn Bhd (Celcom Planet). Ditubuhkan pada November 2014, Celcom Planet adalah usaha sama antara Celcom Axiata Bhd dan SK Planet, penyedia utama laman e-dagang Korea yang juga anak syarikat milik penuh syarikat telekomunikasi mudah alih, SK Telecom.

Berita Harian X