Khamis, 5 Februari 2015 | 3:38pm
PEMAIN Johor Darul Takzim (JDT), Jorge Rolando Pereyra Diaz, mengasak penjaga gol Bengaluru FC, Lalthuammawia Ralte, pada perlawanan kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL), di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto BERNAMA

5 pengajaran perlawanan JDT-Bengaluru FC

JOHOR BAHRU: Perlawanan kelayakan pertama, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kelab Bengaluru FC dari India, di sini, malam tadi memberi lima pengajaran baik.

Ikutilah analisis oleh wartawan BH Online, Mohd Rizar Mohd Noor yang membuat liputan aksi perlawanan berkenaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.

JDT memberi aksi bertenaga untuk menewaskan juara Liga India itu 2-1 selepas masa tambahan.

1 PEMAIN BUKAN BERAKSI UNTUK NAMA TETAPI BERAKSI UNTUK LOGO DI DADA

Karaktor pemain JDT sepanjang 120 minit perlawanan jelas membuktikan betapa mereka beraksi bukan kerana nama sebaliknya membawa pasukan itu ke peringkat lebih tinggi pada saingan kelab-kelab Asia.

Bukan mudah beraksi menentang juara Liga India (Liga-I), Bengaluru FC yang memiliki corak permainan fizikal namun semangat juang yang tinggi dan keazaman untuk melakar kemenangan secara berpasukan berjaya membentuk persefahaman jitu sehingga membuat lawan pulang menggigit jari.

Sikap positif dan tidak kenal erti kekecewaan tatkala keputusan seri 1-1 pada 90 minit perlawanan sehingga diheret ke masa tambahan jelas tidak meruntuh semangat pemain sebaliknya perjuangan yang mereka lakukan di hadapan penyokong sendiri dan sokongan padu pemain ke-12 bagaikan memberi tonik kepada kesebelasan JDT beraksi bermati-matian untuk melakar sejarah sebagai pasukan pertama di negara melangkah ke pusingan kedua.

2 FORMASI DAN TAKTIKAL BOJAN HODAK MENGELIRUKAN

Sebaik wisel perlawanan bermula jurulatih Bojan Hodak membuat perubahan formasi yang agak mengelirukan buat pasukan lawan apabila beraksi dengan corak 4-2-3-1 sekali gus menyukarkan anak didik Ashley Westwood untuk mengimbangi perlawanan terutama di posisi tengah.

Kekuatan JDT terletak di posisi tengah yang tampak begitu padat sehingga pasukan lawan terpaksa mengubah permainan dengan lebih menumpukan pada `flanker' namun kekentalan S Kunanlan dan Mohd Fadhli Shas di posisi bek kanan dan kiri terus menyukarkan lagi usaha Bengaluru FC memecah benteng pertahanan.

Apabila Jorge Pereyra Diaz dimasukkan pada babak kedua formasi berubah kepada 4-5-1 dan ada kalanya 4-4-2 dan 4-3-3. Corak yang mengelirukan itu memberi kesan apabila JDT sering menguasai perlawanan.

3 AMIRULHADI ZAINAL BUKAN PENYERANG TULEN TETAPI TETAP BERUSAHA

Jauh di sudut hati Amirul Hadi Zainal pasti tertanya-tanya mampukah dia beraksi selaku penyerang ketika posisi sebenarnya adalah sebagai pemain tengah atau pemain sayap namun kesungguhan yang dipamerkan seharusnya diberi pujian.

Bukan mudah seorang pemain yang jarang beraksi di posisi serangan diletak sandaran untuk menjaringkan gol namun dia yang diibarat `bidan terjun' selepas Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah masih belum cergas sepenuhnya mampu menyahut cabaran beraksi selaku penyerang.

Kepercayaan diberikan oleh jurulatih, Bojan Hodak memang di luar dugaan namun Amirul Hadi sudah berusaha dan memberi persembahan terbaik dan sewajarnya dia mendapat pujian kerana mencuba walaupun ada kalanya terlepas beberapa peluang terhidang.

4 HARISS HARUN 'MAN OF THE MATCH'

Disiplin dan komitmen yang tinggi sememangnya tidak dinafikan apabila Hariss Harun menunjukkan corak permainan yang matang bukan sahaja menyekat penguasaan tengah Bengaluru FC sambil dibantu kapten Safiq Rahim dan Shakir Shaari malah kerap bertindak selaku perancang utama.

Bijak menghidu peluang menjadi senjata utama Hariss apabila berpunca dari sepakan sudut Nazrin Nawi, pemain import dari Singapura itu menyelinap di celah kepungan benteng lawan dan menanduk bola menerjah jaring.

Walaupun dikasari oleh pemain lawan, Hariss tidak menunjukkan sebarang kelemahan sebaliknya begitu mantap dan mampu menandingi kehebatan pemain lawan tanpa memberi ruang kepada mereka untuk bergerak.

5 PEMAIN IMPORT BENGALURU FC KURANG BERFUNGSI

Dibarisi beberapa pemain import yang tampak begitu gah namun prestasi mereka jelas tidak konsisten malah barisan serangan diterajui Sean Rooney tidak berfungsi selaku penyerang berbahaya.

Di benteng pertahanan gandingan John Johnson dan Curtis Osano juga tidak ampuh sehingga mudah barisan serangan JDT memporak-perandakan benteng pasukan itu malah mereka terpaksa mengekang asakan bertubi-tubi Harimau Selatan.

Sesuatu yang menarik apabila pemain tempatan pasukan itu juga tampak kurang cekap dan terlalu bergantung kepada kapten Sunil Chhetri yang jelas bekerja keras namun tiada sokongan daripada rakan sepasukan.

Berita Harian X