Sabtu, 7 Februari 2015 | 12:06am

Liga Perdana 2015: Kedah, Sabah beri isyarat awal


PEMAIN Kedah, Baddrol Bakhtiar terjatuh selepas diasak pemain Kuala Lumpur SPA, Hishamudin Osman pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Darulaman, Alor Setar. Kedah membelasah KL SPA 5-1. - Foto Amran Hamid

KUALA LUMPUR: Kedah memulakan kempen bola sepak Liga Perdana 2015 dengan nota ceria di hadapan penyokong sendiri apabila gah membelasah KL SPA 5-1 di Stadium Darulaman, Alor Setar, malam ini.

Sabah juga tunjuk belang awal apabila pasukan diketuai bekas bintang Liverpool, El Hadji Diouf merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Merdeka.

Pada perlawanan pertama itu, Negeri Sembilan, PKNS FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) 11 dan Pulau Pinang turut menyerlah mengutip tiga mata.

Di Alor Setar, Mohd Hanif Mat Dzahir membuka tirai jaringan untuk Kedah pada minit ke-23 dan KL SPA berjaya mengimbangi saingan untuk kedudukan separuh masa pertama berakhir 1-0.

Selepas rehat, jentera serangan tuan rumah makin panas dan penyerang import, Keith Murtu Nah menambah dua gol pada minit ke-48 dan 60 sebelum Baddrol Bakhtiar menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-61.

KL SPA menjaringkan satu gol menerusi Michael Chukwubunna pada minit ke-68 tetapi Chidi Edeh menambah derita pelawat dengan gol kelima minit ke-90.

Sabah memulakan kempen Liga Perdana dengan bergaya selepas mengumpul tiga mata penuh hasil kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur.

Tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan pintu gol pelawat menerusi Kalle Sone pada minit ke-12, namun rembatannya di dalam kotak penalti ditepis penjaga gol Sabah, Mohd Fazli Paat.

Sabah turut mendapat peluang untuk menghasilkan jaringan pertama pada minit ke-29 tetapi tandukan kurang kemas daripada Eamon Zayed sedikit melepasi palang gol.


PEMAIN Sabah yang juga bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur, Fariss pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka hari ini. Sabah menang 2-0. - Foto BERNAMA.

Minit ke-45, bekas pemain Liverpool, El Hadji Diouf meletakkan namanya sebagai penjaring pertama buat Sabah musim ini dengan menyudahkan sepakan penalti selepas Leopold Alfonso dijatuhkan Jihad Ismail.

Bersambung babak kedua, Sabah hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jaringan menerusi Safuan Adli yang bijak menolak masuk bola ke gawang gol selepas kesilapan pertahan Kuala Lumpur gagal menampan kemas hantaran lintang Mohd Azizan Nordin.

Di Stadium Bandaraya, jaringan tunggal Lee Kwang-Hyun pada minit ke-58 mengesahkan kemenangan buat Pulau Pinang mengatasi Kuantan FA.

PKNS FC turut ceria dengan tiga mata selepas mengatasi T-Team 2-0 hasil jaringan

Gonzalo Soto pada minit ke-60 dan lima minit kemudian oleh Mohd Munir Amran pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Negeri Sembilan dengan gelaran Matrix dan membuat pelaburan besar pada musim ini, melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan pelawat bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal Mohd Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-17 sebelum bangkit meledak tiga gol menerusi Jean Alexandre pada minit ke-18, Francis Forkey Doe (m-51) dan G Puaneswaran pada minit ke-78.

Pasukan selatan tanah air, JDT II pula menerima tentangan sengit daripada UiTM FC sebelum menang tipis 2-1 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Pemain antarabangsa Singapura, Mohd Shahril Ishak, yang juga kapten pasukan, meletakkan skuad 'Harimau Selatan' di hadapan seawal minit kesembilan sebelum Dao Bakary menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-29.

Penyerang import dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez memastikan tiga mata penuh menjadi milik JDT II selepas meledak jaringan kemenangan pada minit ke-80.

Berita Harian X