Sabtu, 7 Februari 2015 | 10:09am

Empat mati akibat letupan bom petrol di Bangladesh


ORANG ramai membantu membawa mangsa dari sebuah bas yang padat dengan penumpang terbakar akibat bom yang dilempar pembangkang di Dhaka, utara Bangladesh, malam tadi. - Foto AFP

DHAKA: Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang kanak-kanak rentung apabila aktivis pembangkang melempar bom petrol ke arah sebuah bas yang padat dengan penumpang di utara Bangladesh, malam tadi.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang enggan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum setahun lalu berkata, mereka melancarkan bantahan besar-besar sejak bulan lalu bagi memaksa Perdana Menteri, Sheikh Hasina untuk meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya baharu.

Lebih 60 orang terkorban sejak keganasan dalam tempoh sebulan termasuk empat dalam bas malam adi.

"Empat termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita mati di tempat kejadian selepas aktivis pembangkang melempar bom petrol," kata pegawai polis tempatan, Raziur Rahman.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 30 orang mengalami kecederaan termasuk beberapa mangsa cedera parah.

BNP bertindak membuat sekatan jalan raya, landasan kereta api dan laluan air berkata, mereka akan terus berbuat demikian sehingga kerajaan sekarang dibubarkan.

Mereka turut mengadakan demonstrasi selama 72 jam bermula pagi esok.

Kancah politik Bangladesh bergolak selama bertahun-tahun berpunca daripada persaingan di antara Hasina dan pemimpin BNP, Begum Khaleda Zia.

Kedua-dua pemimpin wanita itu mempunyai pertalian saudara dengan bekas pemimpin terdahulu dan mereka berdua silih berganti menjadi perdana menteri negara berkenaan selama dua dekad yang lalu. - Reuters

Berita Harian X