Ahad, 8 Februari 2015 | 1:53pm

Barat desak Putin sokong usaha damai 'terakhir' Ukraine


PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto AP

MUNICH: Pemimpin Barat mencabar Presiden Russia, Vladimir Putin, membuktikan bahawa beliau mahukan perdamaian di Ukraine dan memberi amaran kepada kedua-dua pihak bertelagah bahawa usaha damai Perancis-Jerman mungkin "peluang terakhir" bagi mengelak peperangan.

Dalam satu tindakan dramatik di perhimpunan pemimpin dunia di Jerman, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko, menunjukkan pasport dan kad pengenalan tentera yang beliau dakwa dirampas daripada askar Russia jauh ke dalam wilayah Ukraine, iaitu apa yang dikatakan beliau "bukti" kehadiran Russia dalam negaranya.

"Hari ini bekas rakan strategik melancarkan perang tersembunyi ke atas negara berdaulat," katanya pada Persidangan Keselamatan Munich.


PRESIDEN Ukraine, Petro Poroshenko menunjukkan pasport yang beliau dakwa dirampas daripada askar Russia ketika Persidangan Keselamatan Munich, hari ini. - Foto Reuters

Poroshenko dijadual membincangkan usaha damai menerusi telefon dengan pemimpin Jerman, Perancis dan Russia ketika pertempuran terbaharu di negara bekas Soviet itu meragut lebih 12 nyawa dan Kiev memberi amaran bahawa pemberontak yang disokong Russia merancang serangan terbaharu.

Canselor Jerman, Angela Merkel, menentukan agenda persidangan itu dengan mempersembahkan pelan damai yang beliau dan Presiden Perancis, Francois Hollande, kemukakan kepada Putin di Moscow kelmarin.

"Tidak pasti sama ada ia akan berhasil tetapi saya dan Presiden Perancis berpendapat ia adalah sesuatu yang berbaloi dicuba," katanya.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, turutu menyatakan sokongan kepada pelan damai itu walaupun skeptikal.

"Berdasarkan sejarah terkini Russia, kita perlu menghakimi niatnya, bukan kata-katanya. Jangan beritahu kami, tunjukkan kepada kami, Presiden Putin!" - AFP

Berita Harian X