Isnin, 9 Februari 2015 | 1:45pm
Beyonce memenangi Persembahan R&B Terbaik dan Lagu R&B Terbaik. - Foto Reuters

Malam besar buat Sam Smith di Grammy 57


Sam Smith menggondol empat anugerah dalam anugerah Grammy kali ke-57 di Staples Center, Los Angeles. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Sam Smith yang diberi jolokan sebagai Adele versi lelaki antara yang mendapat perhatian ketika berlangsungnya anugerah Grammy kali ke-57 di Staples Center, Los Angeles, California malam semalam.

Kali pertama bertanding di acara muzik berprestij itu dengan hanya berbekalkan album sulung In the Lonely Hour, Smith yang secara terbuka diketahui mengamalkan cinta sejenis, unggul untuk empat kategori daripada keseluruhan enam kategori.

Penyanyi kelahiran London itu menang dalam kategori Artis Baharu Terbaik selain lagu Stay With Me menang kategori Rekod Terbaik dan Lagu Terbaik. Seterusnya album sulungnya itu menang Album Vokal Pop Terbaik.

"Terima kasih semua untuk malam yang indah ini. Sebelum saya menghasilkan album ini saya sudah cuba melakukan segala-galanya supaya muzik saya dapat didengari dan dikongsi semua. Malah saya juga cuba untuk turunkan berat badan selain menghasilkan muzik yang teruk.

"Hinggalah akhirnya saya menjadi diri sendiri dan tanpa disedari karya muzik saya itu berjalan seadanya sekali gus diterima ramai," katanya yang turut popular dengan lagu Im Not The Only One.

Malah melihat kepada album sulungnya itu, Smith seperti meluahkan apa yang terbuku termasuk soal peribadinya. Jadi tidak hairan beliau menuturkan komen ini ketika menerima anugerah Album Terbaik.


Lady Gaga dan Tony Bennett meraih anugerah untuk Album Vokal Pop Tradisional Terbaik. - Foto Reuters


Pharrell Williams menerima anugerah Persembahan Solo Pop Terbaik. - Foto Reuters

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kamu (merujuk kepada lelaki yang mungkin pernah bertakhta di hatinya). Album ini mengenai, ...terima kasih kerana melukakan hati saya kerana anda saya terima empat anugerah Grammy," katanya yang kali terakhir mendedahkan percintaan dengan Jonathan Zeize tetapi putus beberapa bulan selepas itu.

Selain Sam Smith, Grammy kali ini turut menyaksikan kemenangan buat Beyonce Knowles Beck, St Vincent dan Kendrick Lamar. Beck menerusi album Morning Phase menang Album Terbaik dan Album Rock Terbaik. Beck menewaskan nama besar termasuk Beyonce dan Pharrell.

Pemenang kategori popular lain:

* Persembahan dalam lagu Pop secara duo atau berkumpulan terbaik:

A Great Big World With Christina Aguilera - "Say Something"

* Album Vokal Pop Tradisional Terbaik

Tony Bennett & Lady Gaga - Cheek To Cheek

* Persembahan Solo Pop Terbaik

Pharrell Williams - "Happy"

*Lagu Rock Terbaik

Paramore - "Ain't It Fun"

* Kolaborasi Rap Terbaik dalam Lagu

Eminem Featuring Rihanna - "The Monster"

*Album Rap Terbaik

Eminem - The Marshall Mathers LP2

*Persembahan R&B Terbaik

Beyoncé Featuring Jay Z - "Drunk In Love"

* Lagu R&B Terbaik

Beyoncé Featuring Jay Z - "Drunk In Love"

* Album R&B Terbaik

Toni Braxton & Babyface - Love, Marriage & Divorce

Berita Harian X