Sabtu, 30 Ogos 2014 | 2:04pm

Sara Ali pernah lupa diri


SARA Ali pernah lupa diri

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Sara Ali yang bakal muncul dengan drama bersiri 32 episod, Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS) menerusi slot Akasia di TV3 mulai 2 September ini mengakui pernah jadi lupa diri dan angkuh dengan perhatian yang diberikan kepadanya suatu ketika dulu.

Masakan tidak, bayangkan sekitar empat tahun lalu ketika awalan pembabitan seninya beliau muncul dengan banyak filem antaranya seperti Sesuatu Yang Tertinggal, Songlap, Penunggu Istana dan Nur Kasih The Movie.

Akui beliau yang memegang watak Melina dalam drama berkenaan yang diterbitkan Zeel Production milik Fadzil Teh dan diarahkan Shuhaimi Lua, beliau pernah jatuh sekali dan hampir memusnahkan kerjaya yang sedang mekar ketika itu.

"Saya hampir silap percaturan hingga nama hampir dilupakan di saat perhatian itu sudah ada. Tak saya nafikan di awalan itu saya naik angkuh apabila berlakon banyak filem. Saya pernah kemalangan jalan raya hingga memusnahkan kereta yang dimiliki.

"Saya buat hal di set penggambaran. Saya masuk hospital hingga duit yang saya terima hasil bekerja itu banyak dihabiskan untuk bayar bil perubatan. Tapi semua itu kisah lalu yang saya tak mahu kenang lagi.


SARA Ali pernah lupa diri

"Tawaran berlakon drama daripada pihak Zeel Production untuk drama MJATS ini saya boleh katakan pembuka jalan untuk saya raih semula perhatian yang hilang itu selepas tiga tahun berehat panjang," kata pemilik nama sebenar Siti Sarah Hairi Ali itu kepada BH Online.

Menurut Sara, beliau tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

"Semuanya menjadi pengajaran terbaik buat saya. Banyak tawaran yang saya tolak sehingga memberi ruang kepada pelakon lain naik. Ada watak yang ditawarkan kepada saya sebagai teraju utama saya tolak dan ada juga saya ambil sebagai watak pembantu saja.

"Perlahan demi perlahan, saya dibayar tunai hingga jatuh terduduk. Ia umpama karma buat diri saya. Saya nak manfaatkan 2014 dan tahun mendatang sebaik mungkin. Kalau dianggap nak bermula dari bawah balik pun saya tak kisah," katanya.

MJATS diadaptasi dari novel popular nukilan Acik Lana. MJATS akan bersiaran dari jam 7 malam bermula 2 September ini.

Turut sama berlakon ialah Ika Nabella, Hefny Sahad dan Amy Mastura.

Selain Kuala Lumpur dan Pulau Kapalai, Sabah, penggambaran turut diadakan di Perth, Australia. Peminat drama ini boleh menaip #mjats di laman sosial untuk menghangatkan lagi semarak siarannya. Drama ini menggantikan drama Rindu Awak 200 %.

Sara buat pertama kali bergandingan dengan Fahrin. Untuk peminat drama ini boleh mengikut perkembangan di laman Instagram di bawah nama @mjatstv3.

Berita Harian X