Khamis, 12 Februari 2015 | 1:00pm

Ekonomi Malaysia berkembang 6 peratus pada 2014

BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan di luar jangkaan pada 2014 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak enam peratus berbanding 4.7 peratus pada 2013.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata prestasi kukuh KDNK 2014 didorong oleh peningkatan penggunaan domestik dalam perkhidmatan dan pembuatan, terutama dalam suku keempat.

Beliau berkata, bagi suku keempat 2014, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku ketiga.

"Ia dipacu terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih kukuh," katanya mengumumkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia pada suku keempat 2014, di sini hari ini.

Kaji selidik Bloomberg News terhadap kalangan penganalisis sebelum ini mengunjurkan Malaysia, ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara akan berkembang 5.8 peratus pada 2014 manakala pada suku keempat diunjurkan sebanyak 5.6 peratus.

Permintaan dalam negeri kekal sebagai peneraju pertumbuhan pada suku keempat, disebabkan terutama oleh aktiviti sektor swasta yang lebih baik.

Pelaburan swasta meningkat pada kadar lebih cepat sebanyak 11.2 peratus berbanding 6.8 peratus pada suku sebelumnya, disokong keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan upah yang berterusan.

Sektor perkhidmatan berkembang 6.4 peratus dengan pengembangan dalam semua subsektor.

Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan yang mapan sebanyak 5.2 peratus disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam pengeksportan kluster elektrik dan elektronik.

Penggunaan swasta berkembang pada kadar lebih kukuh sebanyak 7.8 peratus, didorong keadaan pasaran pekerja yang stabil dengan guna tenaga yang mapan dan kadar pengangguran yang rendah.

Malaysia mencatat kadar pengangguran 2.8 peratus, manakala inflasi sederhana kepada 2.8 peratus pada suku kempat 2014.

"Melangkah ke hadapan, harga minyak rendah dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah kira-kira sebanyak RM7.5 bilion pada 2015," kata Zeti.

Zeti berkata inflasi dijangka lebih rendah pada 2015, dengan jangkaan harga minyak rendah dan penyediaan sokongan berterusan bagi aktiviti penggunaan swasta.

Bagaimanapun, harga minyak lebih rendah dijangka mempengaruhi aktiviti pelaburan dalam sektor minyak dan gas.

Dalam pada itu, Malaysia mencatat pelaburan langsung asing (FDI) bersih sebanyak RM10.2 bilion berbanding RM7.7 bilion pada suku ketiga 2014 dan bagi tahun penuh 2014, ia berjumlah RM35.1 bilion.

"Aliran masuk langsung asing disalurkan terutamanya kepada subsektor pembuatan, perkhidmatan, perlombongan dan kewangan, borong dan runcit," kata Zeti.

Bagi 2015, akaun semasa dijangka terus mencatat lebihan tetapi mengecil. Walaupun harga minyak dijangka rendah, lebihan dalam eksport minyak sawit mentah dan gas asli cecair akan kekal besar.

Pada suku keempat 2014, ringgit susut 6.4 peratus berbanding dolar AS. Mata wang tempatan turun berbanding dolar AS sebanyak 2.4 peratus antara 1 Januari dan 10 Februari 2015.

Zeti berkata Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi keadaan yang mencabar dalam persekitaran luaran berikutan infrastruktur ekonominya yang pelbagai, sistem perbankan dengan permodalan yang kukuh serta pasaran kewangan yang maju.

Berita Harian X