Jumaat, 13 Februari 2015 | 10:41am

Lebih banyak kolej komuniti akan dibangunkan - TPM


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat lakaran lukisan yang dibuat khas untuk Timbalan Perdana Menteri oleh salah tiga orang pensyarah Kolej Komuniti ketika menghadiri Majlis Kolaborasi Strategik Kolej Komuniti Wilayah Sarawak di Kuching. - Foto Mas Adib Saie

PETRA JAYA: Lebih banyak kolej komuniti akan dibangunkan di seluruh negara bagi menampung keperluan terhadap sumber tenaga kerja mahir dalam pelbagai sektor industri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata inisiatif itu juga selaras dengan kewujudan lima Koridor Wilayah Pembangunan Ekonomi yang memerlukan pembangunan modal insan terlatih dan berkemahiran dalam pelbagai industri berimpak tinggi.

"Dalam usaha kita menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, lebih tiga juta sumber tenaga kerja mahir diperlukan dan usaha ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan lebih banyak kolej komuniti, selain institusi berasaskan latihan teknikal serta vokasional.

"Sesungguhnya pertumbuhan negara yang mapan bergantung kepada tenaga kerja terlatih dan berkemahiran. Hakikatnya, terdapat keperluan mendesak terhadap pekerja berkemahiran dalam bidang baharu, yang menguasai teknologi terkini dalam industri berimpak tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Kerjasama Strategik Kolej Komuniti Wilayah Sarawak Bersama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Industri Berimpak Tinggi, di sini sebentar tadi.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abd Ghani.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, berkata usaha itu juga turut membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing yang pastinya memberikan kesan besar terhadap ekonomi negara.

Di Sarawak, sekurang-kurangnya sembilan kolej komuniti baharu akan dibangunkan sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Katanya, selain melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja mahir, ia juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam menyediakan peluang pendidikan tinggi kepada rakyat negeri ini, khususnya penduduk pedalaman dan luar bandar.

19 dibaca
Berita Harian X