Sabtu, 14 Februari 2015 | 1:26am

Bijak manfaatkan kuasa media baharu


PENGGUNAAN internet secara bijak serta dengan pengawasan boleh mengelak kanak-kanak daripada terpengaruh maklumat salah. - Foto hiasan

Kecanggihan media baharu yang terkini (new new media) dalam memaparkan nilai interaktif sumber berita menjadikan masyarakat global terdedah dengan kepelbagaian maklumat.

Tidak terkecuali rakyat negara ini yang turut menikmati hasil kecanggihan media yang pesat ini menjadikan maklumat sentiasa berada di hujung jari.

Era komunikasi manusia menjangkau lebih maju hasil perkembangan teknologi atau revolusi komunikasi yang berbentuk struktural dan teknikal. Komunikasi yang interaktif dengan gabungan teknologi komputer dan maklumat, rangkaian komunikasi dan kandungan media digital memperlihatkan manusia kini menggunakan secara maksimum bagi menyampaikan hasrat mereka.

Maklumat yang terhasil berbeza dengan teknologi pada era cetak atau penyiaran kerana media baharu yang terkini ini mempunyai ciri-ciri konvergens, rangkaian digital, capaian global, interaktiviti dan komunikasi ramai kepada ramai yang menggabungkan semua elemen komunikasi - lisan, tulisan, visual, data dan bunyi - dengan menggunakan komputer dan alat telekomunikasi bagi menyatukannya dalam satu platform.

Media baharu lebih dominan

Dalam era kini, media baharu yang terkini dilihat lebih dominan berbanding dengan media tradisional atau media lama seperti media cetak, media elektronik, media siaran dan media interpersonal lain. Menurut Saintis Komunikasi dan Media di Universiti New York, Profesor Dr Paul Levinson, media baharu yang terkini berkaitan dengan kemajuan dan impak media 'lebih baharu' daripada 'media baharu' - sama seperti berbezanya ia daripada media baharu klasik seperti e-mel dan laman sesawang dan juga berbezanya media baharu daripada media lama seperti surat khabar dan televisyen.'

Semakin banyak yang boleh dilakukan dengan teknologi baharu ini. Daripada papan mesej, bilik sembang dan komunikasi dalam kalangan rakan sebaya atau sekerja, internet menjadi platform sosial moden massa; yang bukan lagi sekadar sebagai alat atau kemudahan edaran, pengarkiban dan murah serta berasaskan teks semata-mata, tetapi berubah kepada media sosial yang digunakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja di samping menyediakan kemudahan jaringan sosial dan interaksi antara pembaca dengan penulis atau penonton.

Sebab itu, penulis berani menyatakan media baharu yang terkini sudah menjadi medium pilihan dalam pembentukan interaksi dan jaringan sosial. Kemunculan pelbagai teknologi dan aplikasi baharu berasaskan internet dan konvergens ini, termasuklah media sosial seperti jaringan sosial dan dunia maya, memperlihatkan pilihan pengguna semakin pelbagai.

Penerimaan atau penggunaannya bergantung pada situasi dan keperluan individu di samping beberapa faktor luaran atau penggalak seperti faktor sosial, ekonomi, politik dan teknologi.

Barangkali akibat ledakan teknologi yang pesat dalam komunikasi menjadikan media baharu yang baharu ini boleh dijadikan jua suatu ancaman merentas sempadan. Isu panas global terkini ialah tarikan ideologi Negara Islam (IS). Bijak pandai IS juga celik teknologi media dan komunikasi serta peka dengan ketaksuban pengguna internet global.

Menurut kajian syarikat pengiklanan, pemasaran dan perhubungan awam antarabangsa, Ogilvy dan Mather, sebanyak 456 juta pengguna di Asia, iaitu satu pertiga daripada populasi dalam talian dunia, membabitkan diri dengan aktiviti media sosial dan antara yang popular ialah jaringan sosial dalam talian. Dalam kajian lain, 30 juta orang melawat jaringan sosial dalam talian setiap hari dengan 35 peratus daripadanya mengakses media berkenaan melalui alat peranti mudah alih.

Antara yang sering dilakukan dengan media ini ialah menguruskan profil dan melawat halaman jaringan sosial rakan. Aktiviti menghantar mesej, mencari kawan lama dan baharu dan bertemu janji (dating) di samping memuatnaikkan foto dan video.

Laporan The Nielsen Company pula menunjukkan peningkatan besar dalam penggunaan media sosial ini. Purata masa yang diluangkan oleh pengguna jaringan sosial meningkat daripada tiga jam kepada 5.5 jam dan pada awal Januari 2015, mencapai kepada 7 jam.

Hasil daripada perkembangan pesat statistik pengguna media baharu yang terkini itu, ramai yang terdedah dengan propaganda perjuangan IS yang mempromosikan salafi-jihadi dalam memperjuangkan penubuhan Daulah Islamiah. Malahan, dimomokkan dengan konflik yang berlaku di Syria itu sebagai manifestasi tanda akhir zaman seperti yang disebutkan dalam Kitab al-Fitan. Contohnya, disebutkan dalam hadis: "Tidak akan terjadi Hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq dan di Dabiq", iaitu satu tempat berhampiran Aleppo, Syria.

Bagi pihak pejuang di sana pula mereka begitu yakin dengan saat ini. Sebab itulah menggunakan bendera hitam yang tertera kalimah syahadah. Kerana ada hadis yang menyebut mengenai kemunculan kumpulan 12,000 orang membawa 'panji-panji hitam' atau 'liwa' aswad' yang bakal muncul di akhir zaman untuk menjadi tentera Imam Mahdi dan akan pergi ke Baitulmaqdis untuk membebaskan kota itu daripada cengkaman Zionis.

Perlu fahaman lebih meluas

Sebagai orang Islam, penulis tidak menafikan kebenaran hadis dan peristiwa itu tetapi masih perlu ada pandangan kedua atau pemahaman yang lebih luas dalam soal ini.

Di samping itu, penulis mencari-cari juga soal yang diperjuangkan dalam salafi-jihadi yang akhirnya membawa kepada istilah yang diberikan kepada kalangan umat Islam yang beraliran pemikiran seperti Salafiyun (iaitu kembali kepada al-Quran dan sunah, memurnikan akidah serta menolak bida'ah) dan golongan ini mempunyai matlamat dakwah untuk menegakkan Daulah Islam dengan menggunakan kaedah jihad qital (perang) serta tidak ragu-ragu mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum syariah di dalam sesebuah negara.

Lebih berat lagi perjuangan salafi-jihadi yang dipaparkan juga dalam media baharu yang terkini ini menjadikan generasi muda begitu bersemangat untuk melaksanakan jihad global (ofensif) dan membuat intepretasi yang berlainan lalu ianya menjadi pegangan dalam perjuangan untuk meningkatkan kebangkitan Islam tidak mengira tempat termasuk di Asia Tenggara.

Kononnya perjuangan IS sering menjustifikasikan kewujudan mereka adalah berasaskan kehendak agama semata-mata dan dengan menggunakan platform agama, mereka menggabungkan aliran fundementalis Salafi yang melihat dakwah semata-mata adalah tidak memadai, justeru kekerasan perlu digunakan untuk menegakkan Daulah Islamiah.

Melalui fahaman dan aliran pemikiran inilah maka terjadinya fenomena keganasan yang diterjemahkan. Ramai yang tertanya-tanya mana munculnya IS ini?

Penulis ada membuat sedikit kajian yang memperlihatkan kewujudannya bermula dari Islamic State of Iraq and Levant (ISI atau ISIL) yang juga dikenali sebagai Jamaat al-Tawhid wal-Jihad adalah berakar umbi dari Al Qaeda. Kumpulan ini berkembang dengan menyatukan kumpulan bersenjata di Iraq di bawah nama Mujahideen Shura Council (MSC) pada tahun 2006.

Seiring daripada impian yang besar, kumpulan ini menggantikan nama MSC kepada nama baharu, iaitu Islamic of Iraq (ISI) pada Oktober 2006 dan kemudian kepada ISIL pada April 2013. Hasil kewujudan ISI dan ISIL, maka kedua-dua gabungan itu mengumumkan penubuhan IS pada 29 Jun tahun 2014 dan kini dipimpin oleh Abu Bakar al-Baghdadi.

Akibat penyalahgunaan media baharu yang baharu itu, ramai rakyat kita terpedaya dan taksub. Susulan bagi menangani isu ini, Kerajaan Malaysia mengambil serius dan melaksanakan usul Kertas Putih 'Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan IS' yang dibentang di Parlimen pada 26 November tahun 2014 lalu sebagai satu langkah menyedarkan rakyat Malaysia terhadap ancaman kumpulan IS sambil mempergiatkan usaha dan komitmen rakyat untuk bersama-sama kerajaan menangani ancaman keselamatan negara.

Moga rakyat Malaysia bijak menggunakan media baharu yang terkini demi kebaikan ummah. Begitulah harapan penulis, malahan apa yang tertera dalam media baharu yang terkini ini perlu ditapis terlebih dahulu dan bukannya boleh diterima bulat-bulat. Jadilah warga maya yang berilmu lagi addin.

Penulis ialah penganalisis sosio media-politik

Berita Harian X