Ahad, 15 Februari 2015 | 9:23am
Pengodam akan menghantar emel mengandungi virus kepada kakitangan bank untuk menceroboh komputer pentadbiran di bank berkenaan. - Foto hiasan

Lebih 100 bank di seluruh dunia digodam - NYT

WASHINGTON: Serangan siber sofistikated global menyasarkan lebih 100 bank di 30 negara, menyebabkan kecurian wang bernilai berjuta dolar, menurut The New York Times.

Merujuk laporan yang akan diumumkan syarikat keselamatan Kaspersky Lab, akhbar berkenaan menyatakan serangan itu membabitkan perisian yang memberikan akses jangka panjang kepada sistem perbankan.

Menurut laporan itu, sekumpulan warga Russia, China dan Eropah berupaya mengambil AS$300 juta, iaitu antara rompakan terbesar dunia.

Wang berkenaan dipindahkan ke akaun bank di seluruh dunia dalam jumlah yang kecil bagi mengelak dikesan.

Penggodam menumpukan serangan terhadap bank di Russia tetapi wang berjuta dolar turut diambil dari bank di Jepun, Belanda, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Mereka mempunyai akses kepada sistem bank berkenaan dan boleh membuatkan mesin juruwang automatik (ATM) mengeluarkan wang tunai pada masa dan lokasi tertentu untuk diambil. - AFP

Berita Harian X