Isnin, 16 Februari 2015 | 5:35pm

Projek Forest City, Gelang Patah dengan GDV RM600b dikecilkan

PENGARAH Eksekutif, Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusof memberi penerangan mengenai plan pembangunan Forest City yang akan dimulakan pada minggu depan. - Foto Zain Ahmed

JOHOR BAHRU: Pembangunan projek Forest City di Tanjung Kupang, Gelang Patah, dekat sini akan dimulakan seawal minggu depan dengan saiz tapak dikurangkan hampir dua kali ganda.

  Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Md Othman Yusuf, berkata pembangunan projek itu kini dikurangkan kepada 592 hektar daripada pelan asal untuk membangunkan 1,978 hektar.

"Nilai pembangunan kasar (GDV) awalnya dianggarkan RM600 bilion tetapi kami akan buat perkiraan dan akan umumkan kos baru. Kami menjangkakan pengurangan daripada kos asal," katanya di sini hari ini.

Md Othman berkata, fasa pertama projek itu membabitkan penambakan laut seluas kira-kira 80 hektar dijangka mengambil masa paling awal setahun dengan projek pembangunan bercampur termasuk rumah kelab dan rumah kediaman.

   Katanya, pembangunan keseluruhan pulau buatan itu dijangka mengambil masa antara 20 hingga 30 tahun dalam usaha menjadikannya bandar bertaraf metropolis.

Md Othman berkata, pembangunan itu memenuhi semua syarat wajib yang ditetapkan daripada segi udara, bunyi, kualiti air dan sedimen sekali gus memastikan pembinaan bandar baharu atas air itu tidak memberi kesan yang besar kepada ekosistem.

  Katanya, pihaknya juga akan memberi penekanan khusus pada memulihara kawasan persekitaran malah ia mengekalkan rumput laut yang ada di Pulau Merambong di sempadan Malaysia-Singapura dengan dana RM3.5 juta.

  Sebelum ini, dilaporkan projek penambakan laut bagi membina pulau buatan Forest City dihentikan sementara atas kerelaan pemaju kerana keprihatinan mereka terhadap isu alam sekitar.

  Kerajaan Johor sebelum ini turut meminta pemaju Forest City supaya mematuhi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum membangunkan projek berkenaan dengan memastikan isu seperti alam sekitar diberi perhatian sepenuhnya dan peraturan yang ditetapkan di negara ini dipatuhi.

Berita Harian X