Ahad, 22 Februari 2015 | 7:20pm

Trafik sesak di lebuh raya utama petang ini


Keadaan lalulintas Lebuhraya PLUS menghala ke utara mula sesak berikutan warga kota mula pulang ke Kuala Lumpur selepas mengahabiskan masa cuti bersama keluarga sempena Tahun Baru Cina pada 19 Februari lalu - Foto Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dilaporkan semakin sesak di kebanyakan lebuh raya setakat 6 petang ini berikutan ramai warga kota pulang ke ibu negara selepas cuti bersempena Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Berhad berkata situasi itu berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari arah utara ke Kuala Lumpur.

Antara lokasi terlibat ialah sebelum masuk Plaza Tol Juru ke Bukit Tambun Selatan, sebelum jambatan Pulau Pinang dari Perai ke sebelah pulau, Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Kuala Kangsar ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, R&R Sungai Perak ke Terowong Menora dan dari Bandar Baru ke Bukit Merah.

"Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan dari Ipoh Selatan ke R&R Simpang Pulai, Tapah menuju ke Bidor, di simpang masuk dan keluar Plaza Tol Simpang Pulai, dari Bidor ke Slim River, Rawang menuju ke Rawang Selatan serta dari Sungai Buloh ke Bukit Lanjan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jurucakap itu berkata terdapat treler rosak di lorong kiri di Km261.3 arah utara dan bas rosak di Km261.4 dari Port Dickson ke Seremban yang menyebabkan trafik bergerak perlahan.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik semakin sesak dari Cheneh ke Tol Jabur di Lebuhraya Pantai Timur fasa 2, Lanchang ke Tol Karak, Bentong ke Bukit Tinggi dan dari sebelum keluar Tol Gombak ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila hubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau layari www.twitter.com/plustrafik atau www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X