Isnin, 23 Februari 2015 | 6:04pm

Kenanga Research kekal saranan 'neutral' terhadap sektor automotif


Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif berikutan penurunan dalam jumlah pengeluaran industri (TIV) pada Januari. - Foto hiasan/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif berikutan penurunan dalam jumlah pengeluaran industri (TIV) pada Januari.

Data terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jumlah berkenaan susut 22 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Dalam nota penyelidikannya, Kenanga Research berkata jumlah yang rendah pada Januari adalah perkara biasa disebabkan tempahan agresif pada Disember dan berikutan diskaun yang banyak diberikan syarikat kenderaan pada bulan berkenaan.

Bagaimanapun, ia berkata jualan yang perlahan itu dengan hanya hampir satu peratus pertumbuhan berbanding Januari tahun sebelumnya dan menambah ia berkemungkinan disebabkan sikap 'tunggu dan lihat' dalam kalangan pengguna dengan jangkaan harga kereta akan lebih murah selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan.

Mengenai pengumuman keputusan suku keempat akan datang, Kenanga Research menjangka risiko pendapatan, terutamanya Tan Chong Motors, yang berpotensi dipengaruhi oleh margin yang kecil dengan aktiviti promosi dan pengiklanan agresif serta kesan turun naik mata wang.

"Kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi semua syarikat kenderaan bergantung kepada pengumuman keputusan pada akhir bulan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, bagi pilihan saham, ia memilih peserta auto yang kurang mudah terjejas kepada kelemahan ringgit.

"Pilihan utama kami kekal Berjaya Auto bagi merit pelaburan disokong oleh prospek pertumbuhan yang hebat dengan model-model menarik," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X