Rabu, 25 Februari 2015 | 5:15am

Pendidikan vokasional wajar dimula sejak Tingkatan Satu

Jenama Buatan Malaysia menguasai pasaran global dalam tempoh 20 tahun mendatang. Ketika itu, hampir semua negara bertumpu di Malaysia bersandarkan produk dan perkhidmatan berkualiti, diiktiraf, berteknologi tinggi, inovatif, kreatif serta memberi manfaat kepada pengguna sejagat.

Boleh diandaikan pada tahun 2035 itu, Malaysia mencapai kemuncak sebagai sebuah negara maju berteraskan vokasional dan teknikal. Waktu itu, negara kita adalah pengeluar enjin elektrik dan solar berteknologi tinggi, malah mempunyai pakar autotronik bagi kenderaan berteknologi tinggi, pembekal produk inovatif penyejukan dan penyaman udara, pembekal perkhidmatan katering diiktiraf dunia, hab bagi fesyen dan seni kecantikan serta pakar rujuk dalam seni bina kapal dan marin.

Dunia juga bertumpu di negara ini kerana modal insan yang pakar dalam industri pertukangan kayu, pengendalian mesin cetak, pembersihan kenderaan dan bangunan, dobi, mengecat kenderaan dan bangunan serta kemahiran inovatif dalam teknologi tayar.

Misi berteraskan vokasional

Inilah bayangan visi dan misi modal insan negara berteraskan vokasional pada waktu itu dan pastinya ia boleh dicapai. Transformasi pendidikan vokasional yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan sejak tahun 2012 mula diperkemaskan dan kurikulum standard Kolej Vokasional disusun semula mengandungi 70 peratus latihan kemahiran dan 30 peratus akademik.

Perubahan itu sudah pun berlaku lewat 70-an dan 80-an, masyarakat memandang sebelah mata kepada mereka yang mempunyai pendidikan vokasional. Kini tidak lagi selepas Kolej Vokasional (KV) menawarkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang dikeluarkan Lembaga Peperiksaan termasuk taraf DVM diiktiraf dan diakreditasi Malaysia Accreditation Qualification (MQA).

Lebih-lebih lagi kurikulum asas KV berlandaskan National Occupancy Skills Standard (NOSS) ditambah dengan pelbagai kemahiran mengikut keperluan industri seperti Employability Skills, Production Based Education, School Enterprise dan On The Job Training.

Persoalannya, setakat mana pula syarat kelayakan kursus diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda di politeknik, universiti awam dan swasta menerima pakai kelayakan pelajar yang mempunyai DVM? Perkara ini perlu dilihat serius dan segera dalam memastikan visi dan misi kementerian ada kesinambungan kepada pelajar DVM untuk melanjutkan pendidikan pada peringkat lebih tinggi.

Data menunjukkan 80 peratus graduan lepasan vokasional di Institut Latihan Perindustrian (ILP) memperoleh pekerjaan, manakala ujian rintis Kementerian Pendidikan terhadap graduan vokasional dan kemahiran menunjukkan 95 peratus mendapat pekerjaan dengan gaji asas tinggi.

Jerman adalah contoh terbaik yang memberi tumpuan utama kepada rakyat dalam pendidikan vokasional dan teknikal yang dimulakan sejak seabad lalu dan bangkit semula selepas Perang Dunia Kedua. Hingga 70 peratus pelajar peringkat menengah negara itu memasuki sekolah aliran vokasional dan teknikal.

Pelajarnya dilatih dalam 340 bidang pekerjaan dan kerajaannya berjaya mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan pendapatan rakyat. Malah, sekitar 100,000 jurutera dan saintis baharu dilahirkan di negara itu menerusi 200 sekolah dan fakulti kejuruteraan dan teknikal saban tahun.

Jerman sebenarnya berpaksikan kepada kelompok masyarakat yang dikenali Mittelstand sebagai tulang belakang ekonominya. Kelompok ini diasuh dan diajar mengikut generasi ke generasi yang mana 99 peratus daripada tiga juta syarikatnya dengan pekerja tidak lebih 500 orang di Jerman adalah milik keluarga.

Tumpuan Malaysia memperkasakan latihan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi berada di landasan tepat.

Tambah kemahiran

Cabaran pertama supaya bidang kemahiran vokasional dan teknikal sedia ada ditambah kepada 100 bagi tahun 2015 ini. Kemahiran vokasional dan teknikal amat penting untuk mengisi pasaran pekerjaan sedia ada. Ia berkait rapat dengan dunia keusahawanan dan dengan itu subjek ini perlu diajar serentak dengan bidang kemahiran berkenaan.

Cabaran kedua supaya pendidikan vokasional dan teknikal dimulakan dari Tingkatan Satu. Sistem persekolahan pada peringkat rendah sepatutnya mengenal pasti potensi pelajar, sama ada disalurkan ke bidang akademik, ataupun vokasional dan teknikal. Kita tidak perlu lagi memaksa pelajar belajar perkara tidak diminati.

Tenaga pengajar perlu dimantapkan. Di Jerman guru vokasional menerima imbuhan tinggi kerana mereka perlu menjalani latihan yang panjang. Inilah yang menjadikan Jerman peneraju teknologi terkini khasnya dalam bidang automotif, kejuruteraan berat dan ketenteraan.

Jerman sudah bermula 100 tahun lalu dan kita mempunyai laluan pantas menjadikan pendidikan vokasional sebagai sistem alternatif bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja sebuah negara maju malah sebagai sebuah negara yang dirujuk.

Penulis ialah penganalisis sosio media-politik

61 dibaca
Berita Harian X