Rabu, 25 Februari 2015 | 8:09pm

Axiata peruntukan capex RM4.8b tahun ini

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd menyasar meraih pertumbuhan empat peratus bagi pendapatan dan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahun ini sejajar persekitaran industri yang lebih mencabar.

Bagi mencapai sasaran itu, kumpulan akan memperuntukkan RM4.8 bilion sebagai perbelanjaan modal (capex) mempertingkatkan infrastruktur perniagaan telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT) bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, berkata capex itu adalah tertinggi yang diperuntukkan kumpulan setakat ini berbanding RM4.1 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak termasuk peruntukkan untuk mengembangkan perniagaan menerusi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) jika berpotensi, yang mana langkah itu akan dibiayai menerusi pembiayaan luar.

Kumpulan memiliki keupayaan mencecah RM10 bilion untuk melakukan M&A, namun sejajar dengan industri yang semakin matang kumpulan lebih cenderung melaksanakan penyatuan yang mampu menjana potensi pertumbuhan pendapatan lebih besar kepada kumpulan.

"Selain perniagaan mudah alih tradisional kami, kumpulan juga sedang membangunkan satu lagi segmen baharu menerusi pengambilalihan sekumpulan syarikat digital kecil yang berpotensi menyumbangkan pertumbuhan baharu dalam tempoh jangka panjang.

"Setakat ini kami sudah mengambil alih enam syarikat digital termasuk dalam industri e-dagang dan pengiklanan digital di peringkat serantau," katanya mengumumkan prestasi tahun kewangan 2014 di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, Axiata Group mencatat keuntungan sebelum cukai RM3.114 bilion, lebih rendah berbanding RM3.533 bilion pada 2013.

Keuntungan itu disandarkan kepada pendapatan RM18.712 bilion bagi tempoh yang dikaji, naik dua peratus berbanding RM18.371 bilion sebelumnya.

Berita Harian X