Rabu, 25 Februari 2015 | 8:42pm

Media Prima raih pendapatan RM1.5b tahun lalu

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd meraih pendapatan RM1.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, susut 13 peratus berbanding RM1.7 bilion yang diperoleh sepanjang tempoh sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersihnya dalam tempoh dikaji pula susut 65 peratus kepada RM76.6 juta berbanding tempoh sama sebelumnya.

Penurunan pendapatan dan keuntungan bersih itu adalah disebabkan oleh perkembangan pasaran yang tidak menentu, kelemahan sentimen pengguna serta insiden penerbangan tragik yang menyebabkan pengiklan lebih berhati-hati dengan iklan ditempatkan sepanjang tempoh berkenaan.

Keputusan kewangan Media Prima juga mencerminkan pelaksanaan proses Skim Pemisahan Sukarela (MSS) pada bulan Disember sebagai sebahagian pelan pengukuhan dan rasionalisasi kumpulan. Tidak termasuk MSS, keuntungan bersih normal kumpulan adalah RM141.6 juta.

Mengikut perbandingan suku ke suku, pendapatan Media Prima pada suku keempat 2014 meningkat sedikit sebanyak satu peratus berbanding suku ketiga.

Bagaimanapun, keuntungan bersih pada suku keempat 2014 susut berbanding suku sama 2013 disebabkan pelaksanaan MSS.

Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar, berkata keputusan itu mencerminkan keupayaan kumpulan untuk kekal berdaya tahan dan menghasilkan margin keuntungan bersih positif bagi tahun dikaji di sebalik persekitaran operasi yang semakin berdaya saing.

"Platform media kumpulan terus mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pada 2014, hasil daripada komitmen jangka panjang kami untuk melabur dalam isi kandungan berkualiti serta hubungan kukuh dengan pelanggan dan pengguna," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengikut Johan, Media Prima kekal komited untuk menghasilkan pertumbuhan dan nilai kepada pemegang saham apabila Lembaga Pengarah Kumpulan mencadangkan dividen peringkat tunggal akhir lima sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, bergantung kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-14 akan datang.

"Dengan cadangan dividen peringkat tunggal akhir itu, jumlah dividen diisytiharkan bagi tahun kewangan semasa adalah 11 sen sesaham," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata kumpulan sudah menjangkakan 2014 akan menjadi tahun mencabar berikutan meningkatnya persaingan, perkembangan tidak menentu pasaran serta kelemahan sentimen pengguna yang semuanya menjejaskan perbelanjaan pengiklanan sepanjang tahun.

Dengan semua cabaran yang dihadapi itu, kumpulan secara agresif melaksanakan semakan semula menyeluruh mengenai tahap kecekapan dalaman sambil menguruskan kos secara berhemah.

"Langkah yang diambil termasuklah pelaksanaan MSS bagi membolehkan kumpulan memiliki tenaga kerja optimum menuju ke depan," katanya.

Amrin berkata, semua platform media kumpulan mencatat prestasi baik dalam kalangan pengguna dan memberikan capaian paling meluas termasuk menggunakan media sosial untuk pengiklan memaksimumkan pelaburan mereka.

Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) terus menguasai tontonan apabila 94 daripada 100 program yang mencatatkan tontonan tertinggi dipancarkan menerusi rangkaian berkenaan.

Dalam segmen media cetak, The New Straits Times Press (NSTP) mencatatkan peningkatan dari segi jumlah pembaca terkumpul kepada 4.5 juta orang, berbanding 4.4 juta pada 2013 dengan menguasai pasaran perbelanjaan pengiklanan terbesar iaitu sebanyak 34.2 peratus.

Segmen radio pula menyaksikan Rangkaian Radio Media Prima didengar empat juta orang setiap minggu.

Menerusi segmen dalam talian, Media Prima Digital mencatatkan 735 juta paparan halaman dan 39 juta tontonan video, manakala portal video Tonton kini memiliki hampir 4.3 juta pengguna berdaftar.

Platform media luar pula menguasai 44 peratus pasaran di Malaysia menerusi Big Tree Outdoor manakala Primeworks Studios terus memenangi pelbagai anugerah isi kandungan yang diterbitkan sepanjang tahun.

Berita Harian X