Rabu, 25 Februari 2015 | 9:14pm

Jawairiah wakil tunggal negara dalam undian utama Terbuka Malaysia

Gambar fail menunjukkan Jawariah Noordin membalas pukulan pemain Jepun, Shuko Aoyama di Terbuka Malaysia BMW pada Februari 2012. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Pemain wanita negara, Jawairiah Noordin akan mewakili Malaysia dalam undian utama Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia BMW 2015 di Kelab Golf Diraja Selangor di sini dari 2 hingga 8 Mac ini.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 24 tahun itu akan beraksi dalam acara perseorangan serta akan memilih gandingannya dalam acara beregu.

Menurut kenyataan pihak penganjur hari ini, Jawairiah meraih tempat dalam undian utama selepas memenangi Sirkit Masters Kebangsaan BMW di sini, November lalu.

Jawairiah yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN ke-17 di Palembang, Indonesia, tahun lalu membuat penampilan sulung pada Terbuka Malaysia pada 2010 dalam acara beregu bersama pemain Vietnam, Hunh Phng ai Trang.

Bagaimanapun, pasangan itu tewas dalam pusingan pertama kepada gandingan Vitalia Diatchenko (Rusia)-Chanelle Scheepers (Afrika Selatan).

Sementara itu, seorang lagi pemain negara, S Theiviya, 21, mendapat tiket wild-card untuk beraksi dalam pusingan kelayakan acara perseorangan.

Tahun lalu, wakil tunggal negara dalam undian utama, Aslyssa Boey gagal melepasi pusingan pertama.

Kejohanan yang diiktiraf oleh Persatuan Tenis Wanita (WTA) dan Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) menawarkan jumlah hadiah AS$250,000 (RM911,750). - BERNAMA

Berita Harian X