Khamis, 26 Februari 2015 | 6:04am

Negara luar yakini kualiti pendidikan kita

Baru-baru ini kenyataan saya bahawa pendidikan tinggi di Malaysia bertaraf dunia mengundang reaksi banyak pihak. Banyak yang bersifat membina. Tidak kurang yang melatah dan menghina. Saya menghargai setiap pandangan dan kritikan yang dilontarkan.

Ada yang sangat pesimistik dengan kenyataan saya itu kerana bagi mereka, kualiti pendidikan tinggi di Malaysia jauh ke belakang berbanding negara lain. Sehubungan itu, dengan penuh rasa tanggungjawab saya ingin berkongsi bukti betapa saya berpijak di bumi nyata apabila mengeluarkan kenyataan pendidikan tinggi di Malaysia bertaraf dunia.

Kamus Inggeris Oxford menjelaskan kosa kata 'bertaraf dunia' atau world class sebagai 'antara yang terbaik di dunia.' Jadi, persoalannya adakah pendidikan tinggi Malaysia benar-benar bertaraf dunia?

Perkara pertama yang perlu kita faham, tidak ada satu formula atau pengiraan khusus atau mutlak dalam menentukan ranking dan taraf sesebuah universiti. Atas sebab itulah ada banyak bentuk ranking dan penarafan yang dilaporkan. Adalah tidak wajar untuk kita menghukum sesuatu ranking atau teknik penarafan adalah lebih baik berbanding yang lain kerana setiap satunya mempunyai pemberat dan fokus yang tersendiri.

Dalam kenyataan saya di media massa, baru-baru ini, saya hanya menyentuh beberapa aspek seperti pendaftaran pelajar antarabangsa dan ranking universiti. Sebenarnya banyak lagi aspek lain yang belum sempat saya rungkai. Kali ini, saya akan rungkaikan semua perkara tersebut satu persatu dengan lebih terperinci.


pqc

Pelajar antarabangsa

Mutakhir ini Malaysia mempunyai lebih kurang 135,000 pelajar antarabangsa, daripada peringkat sekolah kepada pendidikan tinggi. Daripada jumlah ini, 107,383 orang berdaftar sebagai pelajar institusi pengajian tinggi. Pada tahun 2014, Malaysia merekodkan 16.5 peratus peningkatan dalam pendaftaran pelajar antarabangsa. Mengikut UNESCO, kadar peningkatan ini lebih tinggi berbanding negara maju seperti Australia dan United Kingdom (UK).

Namun, saya sedar, peningkatan bilangan pelajar antarabangsa semata-mata tidak menjadikan pendidikan tinggi di Malaysia bertaraf dunia. Ada beberapa perkara lain yang perlu dijelaskan daripada data ini. Perkara paling penting adalah mengapa Malaysia menjadi destinasi pilihan pelajar asing?

Dalam laporan UNESCO bertajuk Higher Education in Asia: Expanding Out, Expanding Up yang diterbitkan pada tahun 2014, ada lima faktor utama yang mempengaruhi pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka. Faktor itu adalah seperti berikut:

* Keselesaan agama dan budaya - Malaysia menyediakan persekitaran yang mesra untuk pelajar beragama Islam. Nilai dan ajaran Islam di negara ini terpelihara dan dihormati.

* Kos - Pada standard kualiti yang sama, kos pengajian bagi program sarjana muda dan sarjana di Malaysia relatifnya murah berbanding dengan negara maju.

* Berbaloi - Kualiti pendidikan tinggi Malaysia sangat berbaloi dengan kos yang dikenakan.

* Bahasa Pengantar - Kebanyakan program yang ditawarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

* Kualiti Hidup - Malaysia menawarkan kualiti hidup yang baik dan dianggap sebagai tempat yang selesa untuk hidup serta belajar.

Berdasarkan laporan UNESCO, pendidikan di Malaysia bukan sahaja berpatutan, malah mudah diakses dan berkualiti tinggi. Justeru, banyak pelajar antarabangsa tahu mereka boleh mendapatkan pendidikan berkualiti di Malaysia dan banyak negara menghantar pelajar terbaik mereka ke Malaysia dengan tajaan penuh kerajaan masing-masing.

Malaysia sekarang adalah tuan rumah bagi sembilan cawangan kampus antarabangsa dalam kalangan universiti terkemuka antarabangsa seperti Monash, Nottingham, dan Southampton yang tersenarai dalam 100 universiti terbaik dunia. Kita juga mempunyai universiti tempatan yang dibangunkan sendiri seperti Sunway, Taylors, dan Limkokwing yang turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Mutakhir ini 27,812 orang (25 peratus) daripada semua pelajar antarabangsa sedang menjalani program pada peringkat pasca siswazah di Malaysia, sama ada sarjana atau PhD. Ini menunjukkan bahawa kita dipercayai dalam menyediakan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Untuk maklumat, sebelum ini, Malaysia mempunyai Rancangan Colombo yang menyaksikan pelajar Malaysia dihantar ke Australia dan New Zealand untuk melanjutkan pelajaran. Baru-baru ini, Malaysia telah memulakan Rancangan Colombo baharu, iaitu satu program pertukaran pelajar yang menyaksikan pelajar dari New Zealand dan Australia pula datang ke Malaysia.

Saya percaya negara seperti New Zealand dan Australia tidak akan berkompromi dengan kualiti dan pastinya tidak akan bersetuju dengan rancangan ini jika mereka tidak meyakini kualiti pendidikan negara kita.

Sebenarnya Malaysia sekarang turut menampung pelajar asing sepenuh masa dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda, Australia, Singapura, United Kingdom, Sepanyol, Jepun, Kanada, Jerman, New Zealand, Hong Kong, Perancis, Russia, Korea Selatan dan lain-lain. Jumlah pelajar dari negara maju ini sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keseluruhan pelajar antarabangsa.

Hakikatnya Malaysia bekerja keras menarik pelajar antarabangsa datang ke negara ini. Berdasarkan statistik UNESCO, Malaysia adalah destinasi pilihan kesembilan bagi destinasi pendidikan antarabangsa di dunia, mengalahkan Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Belanda.

Ranking universiti

Kedudukan ranking universiti di negara ini sangat menggalakkan. Universiti Malaya adalah ke-151 terbaik dunia dalam Ranking Universiti Dunia QS 2014/2015 (meningkat dari tangga ke-167). UM turut berada pada kedudukan ke-32 terbaik Asia dan universiti terbaik negara-negara OIC (Pertubuhan Negara Islam). UM memegang tahap lima bintang dari 'QS Intelligence Unit.' Universiti lain yang mendapat tahap lima bintang ini ialah Harvard, Oxford, Duke dan Columbia.

Universiti di negara ini sedang melakukan yang terbaik dan ranking mereka meningkat berbanding tahun lalu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tangga ke-259 dari tangga ke-269 pada tahun 2013 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga ke-294 berbanding ke-355, 61 tangga peningkatan drastik dari tahun lalu. Universiti Sains Malaysia (USM) pula di tangga ke-309 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di tangga ke-376. UKM juga diletakkan di tempat ke-20 dalam 50 Universiti Terbaik di bawah senarai universiti di bawah usia 50 tahun.

Sebagai perbandingan, universiti terkemuka seperti University of Exeter tersenarai di kedudukan 161, Hong Kong Polytechnic University (162), University of Bath (179), Vanderbit University (182), Michigan State University (198), Tel Aviv University (196), Georgetown University (200), Indian Institute of Technology Mumbai (222), George Washington University (300), RMIT University (304), Curtin University (331), University of South Australia (333) dan Oxford Brookes (379).

Ranking program dan fakulti

Berdasarkan ranking program pengajian dan fakulti pula, 11 fakulti daripada universiti awam kita mempunyai kedudukan dalam 100 terbaik dunia. Mengikut Ranking QS, USM di kedudukan ke-28 dunia untuk Program Sains Alam Sekitar, manakala UPM adalah ke-54 terbaik dunia bagi Program Sains Pertanian (ke-7 di Asia dan terbaik di Asia Tenggara) berdasarkan 'Best Global Universities Ranking.'

UM pula di kedudukan 100 terbaik dalam Program Bahasa Moden, Sains Komputer, Kejuruteraan Kimia dan Elektrik, serta kejuruteraan Mekanikal, Aeronotik dan Pembuatan.

Selain Program Sains Alam Sekitar, USM tersenarai dalam 100 terbaik dunia untuk Program Kejuruteraan Awam dan Struktur, Kejuruteraan Kimia, Farmasi dan Farmakologi, Sains Komputer dan Sistem Informasi. UM, UKM dan UPM tersenarai dalam 100 terbaik bagi Program Pendidikan, manakala UKM tersenarai untuk Program Politik.

Anugerah Minda Saintifik Paling Berpengaruh Dunia - Thomson Reuters

Tahun lalu, empat orang profesor dari universiti awam kita telah disenaraikan dalam Anugerah Thomson Reuters - 'Minda Saintifik Paling Berpengaruh Dunia.'

Mereka ialah Prof Dr Abdul Latif Ahmad dan Prof Dr Bassim H Hameed - kedua-duanya dari Bahagian Kejuruteraan Kimia USM. Dua orang lagi ialah Prof Dr Ishak Hashim dari Bahagian Matematik Sains, Fakulti Sains dan Teknologi UKM dan Prof Dr Saidur Rahman dari Fakulti Kejuruteraan UM.

Mereka mencapai kecemerlangan ini kerana penyelidikan yang diterbitkan mendapat petikan tertinggi di dunia dalam bidang masing-masing dalam tahun penerbitan yang diberi. Penganalisis dari Thomson Reuters menganalisis data sepanjang 11 tahun yang lalu untuk menentukan senarai berkenaan. Sesungguhnya, profesor kita ini bertaraf dunia.

Perbankan dan kewangan Islam

Malaysia telah melakukan penyelidikan terhadap output ilmiah dalam Perbankan Islam. Daripada 422 penerbitan dalam Perbankan Islam antara tahun 2009 dan 2014 di dunia, 178 atau 41 peratus berasal dari Malaysia.

Daripada jumlah ini, 48 penerbitan atau lebih 10 peratus diterbitkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Universiti ini berada di barisan hadapan untuk pembangunan perbankan Islam di Malaysia dan dunia untuk berpuluh-puluh tahun. Pensyarah UIAM terus diburu sebagai penasihat kepada bank dan institusi Islam sama ada tempatan dan antarabangsa.

Kita perlu realistik dengan kekuatan dan kelemahan kita. Selama menjadi Menteri Pendidikan Kedua untuk hampir dua tahun, saya bangga dengan usaha dan pencapaian Kementerian Pendidikan serta institusi pendidikan awam.

Tetapi ini tidak sekali-kali bermakna kita sudah berpuas hati. Perjalanan ini tidak akan berakhir di sini. Kita mahu mencapai taraf dunia dalam semua bidang, dan mengatasi kelemahan yang lain. Kita telah memulakan dua tahun perjalanan untuk mengkaji arah strategik sektor pendidikan tinggi. Pada akhir bulan Mac ini, kita akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Blueprint) (Pendidikan Tinggi).

Marilah kita bersama-sama turun ke padang. Meningkatkan yang baik dan membetulkan yang buruk. Bukan sekadar lantang mengkritik dari kerusi empuk. Sama-samalah kita tingkatkan sistem pendidikan kita.

Penulis ialah Menteri Pendidikan Kedua

Berita Harian X