Khamis, 26 Februari 2015 | 4:23pm

Dua beradik dipenjara, denda cederakan ahli perniagaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 setiap seorang ke atas dua beradik hari ini setelah mereka mengaku bersalah mencederakan seorang peniaga awal bulan ini.

S. Thirunavarasu, 26, seorang pemandu lori dan adiknya kelindan lori, S. Thenarasu, 24 didakwa bersama tiga lagi yang masih bebas, mencederakan G. Jothi, 23, menggunakan botol arak di luar Restoran Tai Kee, Taman Seri Sentosa, Brickfields di sini, pukul 1.30 pagi, 8 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Majistret Saifulakmal Said memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Saifulakmal berkata walaupun kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan terdapat tiga lagi yang terlibat dengan kejadian itu masih bebas, mereka masih bertanggungjawab atas kejadian itu kerana mereka juga terlibat sama.

Peguam Tharamjit Singh yang mewakili Thirunavarasu dan Thenarasu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan kedua-dua tertuduh telah berkahwin dan menanggung keluarga masing-masing.

"Mereka telah memberi kerjasama penuh ketika dipanggil oleh polis dan telah dibebaskan atas jaminan polis. Ini merupakan kesalahan pertama kedua-dua tertuduh dan pengakuan mereka telah menjimatkan kos dan masa mahkamah," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nom Phot Prack Dit. - BERNAMA

14 dibaca
Berita Harian X