Isnin, 2 March 2015 | 3:35pm

Piala FA: Pahang, JDT bertarung pertahan prestij malam ini

MENARIK dan pasti mendebarkan. Itulah ayat mudah untuk menggambarkan perlawanan pusingan kedua Piala FA tunggal, malam ini yang membabitkan dua jaguh, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Apa tidaknya, sekalipun kedua-duanya tidak begitu menyengat dalam saingan awal Liga Super musim ini, masing-masing memiliki alasan kukuh untuk menang selain diperkuatkan dengan kelebihan tersendiri.

Belum pun bertemu, pelbagai drama luar padang sudah pun dimainkan dan paling mencuri tumpuan, penangguhan tarikh perlawanan yang membawa kepada kritikan terhadap badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

FAM yang pada awalnya tidak meluluskan penangguhan itu akhirnya mengalah dengan jadual awal yang sepatutnya semalam, dilanjutkan pada, hari ini.

Menilai peluang kedua-dua pasukan, faktor beraksi di laman sendiri, Stadium Darul Makmur pastinya memberi kelebihan buat Pahang.

Malah pastinya ada dendam yang mahu dilunaskan skuad dengan jolokan Tok Gajah itu yang tewas kepada JDT pada perlawanan pembuka musim, perlawanan Sumbangsih di Larkin.

Pahang tewas perlawanan itu 2-0.

Selain itu, status sebagai penyandang juara juga pasti penting buat Pahang dengan kekalahan di laman sendiri, pasti mampu merencatkan segala perancangan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu.

Jika bersandarkan dengan kekuatan moral pula, kedua-duanya baru saja mengharungi kejayaan kempen di peringkat lebih tinggi - Asia - dengan menewaskan lawan masing-masing dan mara ke peringkat seterusnya.

Bagi JDT pula, kemenangan di Darul Makmur pastinya memberi lebih makna selepas berjaya menundukkan lawan sama di Larkin.

Malah, duka tewas di final Piala Malaysia tahun lalu masih berbekas buat skuad bimbingan Bojan Hodak ini dan ia tidak mampu ditampung dengan menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah saja.

Dianggap ramai pemerhati dan pengkritik sukan sebagai pasukan 'terkuat' Liga Malaysia musim ini dengan rentetan pemain bintang, kekalahan pasti sesuatu yang sukar ditelan peminat skuad digelar Harimau Selatan itu di Darul Makmur.

Bagi kedua-dua pengendali pula, harapan dan fokus mereka sama - memenangi perlawanan itu nanti dan seterusnya mara selangkah untuk menjuarainya.

Selain sengit dan menarik, aksi di Darul Makmur juga mampu mencetus kontroversi namun apa yang diharapkan, ia berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

RAMALAN BH ONLINE

PAHANG...............2 JDT.................1

Berita Harian X