Selasa, 3 March 2015 | 6:41pm
SEPANG 03 MARCH 2015. PELUMBA pasukan DRIVE M7 SIC Racing Team Zulfahmi Khairuddin bersama motorsikalnya pada majlis pelancaran pasukan itu di Litar Antarabngsa Sepang. - Foto Osman Adnan

MotoGP: Amaran terakhir buat Zulfahmi


KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang Datuk Razlan Razali (kiri) bersama pelumba pasukan DRIVE M7 SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin pada majlis pelancaran pasukan itu di Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Apa juga keputusan bakal dilakarkan musim ini, 2015 dilihat menjadi tahun terakhir buat penunggang Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin beraksi dalam kelas ketiga di Kejuaraan Dunia (MotoGP) itu.

Bersandarkan kepada kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, tiada jalan untuk penunggang berusia 23 tahun itu kekal di Moto3 tahun depan jika berpandu kepada sasaran diletakkan kepadanya.

Seandainya mencapai sasaran berada di kelompok 10 terbaik dalam setiap pusingan selain mendaki podium terutama di GP Malaysia, Fahmi akan dinaikkan taraf menunggang Moto2 dan seandainya gagal, inilah peluang terakhirnya di MotoGP.

"Ini satu peringatan buat Fahmi, kita mahu Fahmi terus meningkat dan jika dia melakukan yang terbaik, kita akan membawa dia beraksi di Moto2," kata Razlan ketika ditemui di Majlis Pelancaran pasukan baharu Moto3, Drive M7 SIC Racing Team di sini, hari ini.

"Kita mempunyai ramai pelumba muda yang boleh dididik untuk menggantikan tempatnya. Bagi saya, ini adalah tahun terakhir buatnya jadi dia tiada jalan lain untuk melakukan yang terbaik.

"Malah seandainya dia tidak mencapai sasaran diletakkan ketika pertengahan musim, dia mungkin akan digugurkan ketika itu juga.

"Kita sudah duduk berbincang bersama dengannya sejak penghujung musim lalu lagi yang kita bina pasukan ini untuknya dan juga untuk peminat sukan permotoran di Malaysia.

"Jika dia terus beraksi di Moto3 untuk tahun ke-7, ia sudah terlalu lama buatnya dan jika dia berjaya mencapai sasaran, kita sendiri akan cadang untuk membuat pelaburan dalam Moto2.

"Kita bermula dengan Moto3 dan jika kita berkembang ke Moto2, ia lebih bagus dan ia memang pelan jangka panjang buat kami," katanya.

Jika bersandarkan kepada peringatan diberi Razlan, ia dilihat agak keras namun baginya, ia adalah yang terbaik buat sukan permotoran di negara ini yang dilihat terlalu manja.

"Kita terlalu memanjakan pelumba kita. Jika kita lihat pasukan lain, ada di antara mereka yang sudah memecat pelumba mereka. Lainlah pelumba yang berbayar.

"Namun untuk Fahmi, kita yang biayai karier dia, jadi kita mahukan keputusan. Jika terpaksa, kita akan melakukannya dan letak penunggang lebih muda untuk separuh lagi musim sebagai pembangunan musim depan."

Begitupun, Razlan berkata pelbagai faktor perlu dilihat dan dinilai sebelum membuat keputusan drastik seperti itu.

"Sudah tentu kita akan nilai setiap perlumbaan juga. Jika kita lihat tahun lepas, perbezaan kedudukan 1 hingga 20 amat dekat. Jadi jika tidak bernasib baik seperti terjatuh, kita boleh bagi pengecualian.

"Namun jika ketika sesi kelayakan dia berada di kedudukan 20 teratas, ia tidak boleh diterima," katanya.

Dalam pada itu, Razlan berkata tiada istilah pelumba utama atau pun kedua dalam pasukan Moto3 Drive M7 SIC Racing Team musim ini.

Malah kedua-dua pelumba pasukan itu termasuk penunggang Republik Czech, Jakub Kornfeil perlu mempunyai hubungan yang baik dan saling bekerjasama sekalipun di atas litar perlumbaan, mereka adalah musuh.

"Ketika ini tiada siapa penunggang pertama ataupun kedua. Namun kita mungkin akan nilai kembali selepas separuh musim.

"Apa yang mustahak ialah Fahmi mendapat rakan sepasukan yang kompetitif. Rakan sepasukannya tahun lepas memang kompetitif, namun keserasian dengan pasukan itu tiada."

Mengulas jentera KTM yang bakal digunakan pasukan Drive M7 SIC Racing Team, Razlan menyifatkan ia adalah yang terbaik dalam kelasnya setanding dengan pasukan terbaik dalam kategori itu.

INFO

MUHAMMAD ZULFAHMI KHAIRUDDIN

Asal: Selangor

Tarikh lahir: 20 Oktober 1991

Berat: 57 kilogram

Tinggi: 168 cm

Jentera: KTM

Pasukan

2010 - Ongetta -SIC-AirAsia

2011/2012 - AirAsia-SIC-Ajo

2013 - Red Bull KTM Ajo

2014 - Ongetta-AirAsia

2015 - Drive M7 SIC Racing

Berita Harian X