Rabu, 4 March 2015 | 12:03am

Ziana, Erra berkongsi rahsia


ERRA Fazira (kiri) dan Ziana Zain. - Foto Munira Abdul Ghani

PESONA dan aura dua primadona dunia seni tempatan ini sukar dinafikan. Tiap kali kelibat mereka muncul di setiap acara, lensa kamera sudah pasti merakam lenggok dan gerak geri mereka.

Dua wanita ini bukan sekadar teman dalam industri, tetapi mengakui mereka menjalin hubungan luar biasa yang sudah utuh sejak bertahun lalu.

BH mendekati Ziana Zain dan Erra Fazira yang sudi berkongsi rahsia dengan pembaca mengenai kisah hubungan antara mereka itu.

"Antara kami memang ada hubungan istimewa, Ziana sangat istimewa.

"Ziana sudah seperti kakak kandung saya," kata Erra dalam lirik senyum manis.

Senada dengan Erra, Ziana juga mengakui perkara itu dan menambah mereka akrab antara satu sama lain.

Tambah Ziana, mungkin peminat jarang nampak mereka bersama namun hakikatnya, mereka saling berhubungan antara satu sama lain.

"Bukan hanya soal kerjaya, kami juga berkongsi kisah kehidupan dan saling menyokong antara satu sama lain," tambah pelantun lagu Syurga Di Hati Kita ini.


Erra Fazira

Erra berkata, pada Ziana juga, tempat dirinya menyandar bahu kala ada gundah di hati.

"Saya beruntung ada Ziana yang sentiasa sudi mendengar rintihan dan dengar masalah.

"Setiap kali jumpa memang nak peluk sebab sifat keibuan serta kakak yang menebal yang ada pada Ziana," katanya.

Ziana pantas mencelah: "Saya akan sentiasa berada di sisi, Insya-Allah. Moga hubungan kita kekal selamanya."

Mengimbau titik permulaan hubungan mereka bersahabat, Erra berkata segala-galanya bermula ketika sama-sama diperkenalkan ke layar perak menerusi dua filem paling laris, Sembilu dan Maria Mariana.

"Sejak detik itu, kami selesa bila bersama," katanya penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu.

Ziana berkata, mereka mudah serasi dan saling percaya antara satu sama lain.

Pantas masa berlalu, kedua-duanya teruja berkongsi kisah hubungan mereka sempena dua dekad persahabatan yang terlalu berharga bagi kedua-duanya.


Ziana Zain

"Bayangkan sudah 20 tahun berlalu dan kami terus bersahabat. Dari anak dara kini sudah bergelar ibu," katanya.

Ziana berkata, paling penting dalam persahabatan adalah saling percaya antara satu sama lain, menghargai dan menjaga maruah seorang yang bergelar sahabat.

"Pada Allah kami mohon, hubungan ini kekal sehingga nafas terakhir kami dan harapan peminat doakan kami juga," katanya berdoa sambil diaminkan Erra yang berada di sini.


ERRA Fazira (kiri) dan Ziana Zain. - Foto Munira Abdul Ghani

Erra dan Ziana pandai bawa diri untuk terus bertahan

Masih kekal bertahan dalam arena seni sehingga hari ini, baik Erra mahupun Ziana seperti selalu, sentiasa merendah diri dan mudah didekati media. Jarang mencuka, malah senyuman sentiasa terukir di bibir mereka.

Biarpun industri hiburan disinari dengan kehadiran pendatang baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan namun nama Erra dan Ziana tetap tidak goyah.

Pendatang baru juga wajar menjadikan dua figura ini sebagai idola kerana mempunyai personaliti yang disenangi oleh peminat serta pihak media sendiri. Sebarang gosip yang melanda Erra dan Ziana berjaya ditepis dengan baik tanpa menyinggung mana-mana pihak.

Kala ditanya rahsia masih menjadi antara yang popular, dua diva ini tidak lokek berkongsi pesan.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 40, berkata, penglibatannya dalam bidang seni bukan kerana ingin mengejar populariti semata-mata. Erra berpendapat yang selain minat yang mendalam, seorang anak seni juga perlu ikhlas dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

"Mungkin ia boleh dijadikan tips kepada pendatang baru yang mana selain dari menyanyi dan berlakon, kerja dalam bidang seni ini juga adalah seperti amanah kerana setiap gerak geri kita di luar menjadi perhatian.

"Tanggungjawab kita sebagai insan kerana kita dikenali, tindak tanduk kita diperkatakan. Jangan salahkan orang serta usahlah mempertikaikan dengan berkata ini tak boleh itu tak boleh kerana pilihan untuk berada dalam bidang ini dibuat sendiri oleh kita," kata Erra.

Sementara Ziana yang berada disamping Erra turut mengiyakan kenyataan yang dibuat oleh rakan seperjuangannya itu. Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain berkata, anak seni juga boleh mendidik peminat menerusi produk seni yang dijayakan oleh mereka.

"Sentiasa ingat bahawa pekerjaan kita dalam arena ini adalah satu tanggungjawab bukan hanya sekadar menjadi inspirasi tetapi turut memberikan banyak mesej kepada muda mudi.

"Kepada yang membesar dengan filem-filem teruslah menyokong kami dan dapat memberikan yang terbaik menerusi fasa-fasa perubahan kami. Ia adalah satu tanggungjawab yang besar juga sebenarnya," kata Ziana sambil tersenyum.


Erra dan Ziana pandai bawa diri untuk terus bertahan. - Foto Munira Abdul Ghani

INFO:

* Ziana bermula sebagai Pramugari manakala Erra ialah seorang Peragawati sebelum beralih ke bidang seni.

* Mula beraksi bersama dalam filem Sembilu dan Sembilu 2.

* Bergandingan sebagai adik dan kakak dalam filem Maria Mariana, Maria Mariana 2 dan Qabil Khusry Qabil Igam serta

* Kedua-duanya adalah selebriti Ikon Fesyen yang sentiasa anggun dan mendapat pujian kerana bijak bergaya.

Berita Harian X