Rabu, 4 March 2015 | 12:05am
AKTIVITI harian orang asli di Royal Belum. Foto Muhd Zaaba Zakeria
LALUAN perjalanan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung tersebut. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KEHIDUPAN harian orang asli suku Jahai di Royal Belum antaranya mencari hasil hutan, memancing ikan dan sebagainya. Orang Asli Jahai merupakan Orang Asli daripada suku bangsa Negrito. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
REAKSI kanak-kanak orang asli suku Jahai. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
MISTERI tiga penjuru pokok Ara di Hutan Royal Belum, Perak. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PEMANDANGAN Tasik Banding di sekitar Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
JALAN masuk menuju ke Resort Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
GELAGAT anak-anak orang asli suku Jahai ketika bermandi manda di tebingan tasik. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Membongkar misteri Royal Belum


GELAGAT kanak-kanak orang asli suku Jahai. Kehidupan harian orang asli suku Jahai di Royal Belum antaranya mencari hasil hutan dan memancing ikan dan sebagainya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Royal Belum yang berkeluasan 300,000 hektar iaitu bersamaan empat kali Singapura, berusia 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan Amazon, menjadikannya hutan tertua di dunia, menyimpan pelbagai rahsia dan misteri.

BH cuba menjejaki beberapa kisah misterinya, seperti kewujudan Kampung Lama Belum, ikan toman gergasi, misteri pokok ara tiga penjuru, aktiviti memburu ikan pada waktu malam, orang asli suku Jahai serta lokasi pertempuran komunis dan tentera Malaysia.

Tidak ramai tahu, dalam hutan setebal dan seluas itu, pernah ada perkampungan lama masyarakat Melayu jauh di tengah-tengah hutan dan memerlukan perjalanan dua hari untuk sampai ke lokasinya.

Masyarakat Kampung Belum Lama, sudah berpindah ke Bendang Puru berhampiran Grik sejak 1952, selepas mendapat arahan pihak British yang melancarkan gerakan besar-besaran menawan komunis yang ketika menggunakan Hutan Belum sebagai tempat persembunyian dan kubu. Itu sudah menjadi sejarah.

Lapan kampung kecil yang ada di Belum Lama kini hanya tinggal bekas dan kubur lama. Namun, ia tetap dikunjungi setiap tahun, umpama sudah menjadi satu amalan dan tradisi yang berterusan oleh penduduk sekitarnya.

Untuk ke Kampung Belum Lama bukan satu kerja mudah kerana seseorang itu perlu menempuh perjalanan jauh bermula dari Sungai Kejar, melalui banyak sira haiwan (tempat haiwan liar minum), malah perlu bermalam di dalam hutan.


JEJAK kesan tapak kaki Gajah yang dijumpai di laluan menuju ke Kampung Belum Lama yang mengambil masa dua hari ke kampung tersebut. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Ada orang kampung yang pernah berdepan situasi menakutkan apabila berselisih dengan haiwan seperti gajah, harimau dan seladang yang diketahui amat garang dan boleh mengancam nyawa manusia.

Malah, tinjauan wartawan BH di laluan utama ke Belum Lama juga menemui bekas tapak kaki gajah yang masih baru di sira pertama, hanya 15 minit perjalanan dari Sungai Kejar.

Kampung Lembu adalah kampung paling dekat di Belum Lama diikuti Kampung Tanjung, Kampung Banggol Seto, Kampung Penering, Kampung Meko, Kampung Belimbing dan Kampung Sepo.

Perjalanan ke Belum Lama kini sudah dipermudahkan dengan adanya Empangan Temenggor kerana dapat merentas hutan asal dengan menaiki bot sedangkan menurut penduduk asal Belum Lama, Mohamad Awang Kechik, 88, sebelum ada empangan, mereka mengambil masa seminggu untuk keluar dari kampung.


PENDUDUK Asal Kampung Belum Lama, Mohamad Awang Kechik. -Foto Muhd Zaaba Zakeria

Menurut cerita Mohamad Awang atau mahu dikenali sebagai Pak Teh, orang Belum Lama mewarisi kehebatan yang ada pada Datuk Pulang Hari, iaitu orang yang mula-mula membuka Kampung Lama Belum bersama Puteri Saadon beratus tahun dulu.

"Datuk Pulang Hari diberi gelaran kerana kemampuannya pulang ke Pattani, Thailand dari Belum Lama pada hari sama, sedangkan orang lain mengambil masa berhari-hari. Anak beliau pula berkahwin dengan Puteri Saadon, orang bunian di Belum Lama.

"Keturunan kami datang dari mereka berdua. Kerana itulah ada keistimewaan tertentu dalam masyarakat kami. Setiap tahun, jika pulang melawat Belum Lama, mesti buat tahlil kerana jika tidak, ada saja halangan seperti hujan lebat dan banjir," kata Pak Teh.

Beberapa orang kampung yang ditemui turut menceritakan kehebatan yang diwarisi Pak Teh kerana dalam usia setua itu, Pak Teh masih boleh ke Belum Lama lebih cepat daripada orang lain. Malah, Pak Teh antara orang yang amat digeruni komunis suatu ketika dulu.


KAWASAN kediaman orang asli di Royal Belum. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tentu sekali Belum Lama menyimpan sejuta rahsia kerana ia masih mampu menarik masyarakat Belum Baru untuk ke situ setiap tahun sekadar untuk mengadakan majlis tahlil dan bergotong-royong membersih kawasan.

"Di sana ada lombong emas yang tidak ditemui tetapi masih wujud. Zaman kami dulu, orang kampung tak pedulikan kewujudannya tetapi semua orang tahu ia ada di Belum Lama," katanya.

Selain Belum Lama, banyak lagi misteri yang dapat dikupas mengenai Royal Belum termasuk kewujudan masyarakat Orang Asli suku Jahai yang dikatakan hanya terdapat di situ.


GELAGAT orang asli suku Jahai. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Jahai adalah satu daripada enam suku Negrito yang mendiami tanah Semenanjung. Mereka dipercayai berhijrah ke Asia Tenggara kira-kira 60,000 tahun dahulu, namun menurut orang kampung Belum Baru, mereka bukan penghuni asal Royal Belum kerana hidup mereka secara nomad (berpindah).

Tinjauan BH mendapati masyarakat itu kini menjadi penghuni tunggal di pinggir Tasik Temengor terutama di sekitar kawasan Sungai Kejar. Difahamkan, ada hampir 300 masyarakat Jahai di Hutan Belum.

Info Royal Belom

- Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak diisytihar semula sebagai `The Royal Belum' oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 31 Julai 2003.

- Nama Hutan Belum diambil daripada nama asal perkampungan Melayu iaitu Kampung Belum Lama meliputi tujuh perkampungan kecil.

- Royal Belum dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Hutan Belum dan Hutan Simpan Belum. Pengunjung hanya boleh meneroka Hutan Belum yang tidak diwartakan sebagai hutan simpan, manakala untuk ke Hutan Simpan Belum perlu mendapatkan permit pihak berkuasa.

- Hutan Belum-Temenggor berusia 130 juta tahun adalah hutan tertua di dunia.

- Menjadi kawasan tadahan hujan utama di Semenanjung Malaysia.

- Kompleks Hutan Belum-Temengor merangkumi Taman Negeri Royal Belum (117,500 hektar), Hutan Simpan Grik (34,995 hektar) dan Hutan Temenggor (147,505 hektar).

- Keluasan Kompleks Hutan Belum-Temengor hampir empat kali ganda saiz Singapura, kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

- Terdapat lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 ikan hidup di sini.

IKUTI SIRI KEDUA MENGENAI MISTERI IKAN TOMAN BESAR DI HUTAN BELUM DALAM BH PLUS, ESOK.

Berita Harian X