Khamis, 5 March 2015 | 12:05am

Teknologi cipta bayi tiga baka

ANAK penyambung zuriat penting bagi sesebuah keluarga. - Foto hiasan
ANAK penyambung zuriat penting bagi sesebuah keluarga. - Foto hiasan

KECANGGIHAN bidang sains dan teknologi membolehkan manusia mencipta pelbagai teknik yang hasilnya boleh memberi manfaat, tetapi ada kala menyebabkan lebih banyak permasalahan yang timbul. Terkini, satu teknik membabitkan penzahiran anak ditemui oleh saintis.

Saintis di United Kingdom (UK) menemui satu teknik baharu dalam bidang kesihatan reproduktif untuk mengatasi masalah penyakit keturunan kepada bayi yang disebabkan oleh kecacatan pada mitokondria yang terdapat dalam sel telur wanita.

Sehubungan itu, Parlimen UK baru-baru ini meluluskan undang-undang yang akan menjadikan Britain negara pertama membenarkan penciptaan apa yang dipanggil 'bayi tiga baka' (three-parents babies).

Pihak yang menyokong undang-undang itu berkata, prosedur berkenaan akan mengelak bayi daripada menghidap penyakit teruk atau menemui maut disebabkan penyakit diwarisi daripada ibu. Namun, ada yang menganggap undang-undang itu tidak bermoral dan sebagai langkah ke arah penciptaan bayi oleh manusia.

Setiap sel manusia mengandungi dua bahagian utama iaitu nukleus dan sitoplasma. Nukleus mengandungi DNA iaitu kod genetik yang membentuk baka sementara sitoplasma adalah bengkel sel yang mana kegiatan harian berlaku dan mitokondria sebahagian daripada sitoplasma yang tugasnya membekalkan tenaga.

Mitokondria tidak menentukan baka iaitu ciri-ciri diwarisi daripada ibu dan bapa seperti ketinggian, warna kulit atau sifat pemarah. Tetapi mitokondria yang tidak sihat boleh menyebabkan anak mengalami kecacatan otak, otot, masalah mata, sakit sendi, buah pinggang dan sistem saraf selain boleh menyebabkan kematian.

PEMINDAHAN pronuklear membabitkan persenyawaan telur ibu kemudian dipindahkan DNA nuklear ibu kepada telur penderma dengan mitokondria sihat yang disenyawakan yang mana nuklear asal telah dikeluarkan. Telur sihat yang disenyawakan kemudian diimplan ke dalam rahim ibu.
PEMINDAHAN pronuklear membabitkan persenyawaan telur ibu kemudian dipindahkan DNA nuklear ibu kepada telur penderma dengan mitokondria sihat yang disenyawakan yang mana nuklear asal telah dikeluarkan. Telur sihat yang disenyawakan kemudian diimplan ke dalam rahim ibu.

Proses pemindahan mitokondria

Yang dimaksudkan dengan proses pemindahan mitokondria ialah nukleus dalam sel telur ibu yang mitokondrianya tidak sihat dipindahkan ke dalam sel telur wanita lain atau dikenali sebagai 'penderma' yang memiliki mitokondria sihat dan nukleusnya telah dibuang.

Apabila telur itu disenyawakan, ia akan mempunyai gen ibu, bapa dan DNA mitokondria daripada pihak ketiga iaitu penderma. Prosedur ini dilakukan secara persenyawaan in vitro. Matlamatnya adalah untuk melahirkan bayi yang sihat.

Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datin Azizan Baharuddin, berkata walaupun prosedur itu agak asing bagi masyarakat di negara ini, tetapi itu tidak menghalang mereka peka dengan perkembangan dunia sains.

Katanya, masyarakat khususnya umat Islam perlu memahami ilmu ini kerana setiap yang berlaku ada penjelasannya begitu juga teknik penzahiran bayi yang bebas daripada penyakit disebabkan mitokondria tidak sihat seperti dihasilkan saintis di UK.

"Ini ilmu Allah SWT dan sebaiknya kita orang Islam memahami ilmu ini. Jika orang Barat mencari etika untuk memandu teknologi ini, Islam boleh membantu kerana kita ada sandaran iaitu al-Quran serta sunah. Jika orang lain beri komen, kita juga mesti komen, sebab itu kita perlu ada persediaan," katanya.

Beliau berkata, penyakit berpunca dari mitokondria tidak sihat yang dihidapi wanita serta bakal diwarisi kepada anak mendorong pakar untuk melakukan kajian dan teknologi yang terhasil dilihat mampu mengatasi masalah itu.

Namun, bagi umat Islam katanya, penemuan teknologi itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut sebelum membuat sebarang pertimbangan kerana tidak semua teknologi terbaharu yang berjaya dihasilkan mendesak kita untuk berada di barisan hadapan atau menerimanya begitu sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Datin Azizan Baharuddin. - Foto Shahrul M Zain
Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Prof Datin Azizan Baharuddin. - Foto Shahrul M Zain

Sejauh mana mitokondria ibu tak sihat jejas bayi

Jelas Azizan lagi, berdasarkan kajian dikeluarkan badan bebas yang menasihati pembuat dasar dan merangsang perbahasan dalam bioetika, Nuffield Bioethics Council, beberapa persoalan timbul antaranya sejauh mana terbukti mutasi mitokondria adalah penyebab utama penyakit dihidapi anak bakal dilahirkan.

Katanya, begitu juga dengan persoalan apakah proses kehamilan dan penyusuan oleh ibu yang memiliki mitokondria tidak sihat tidak akan memberi kesan pencemaran kepada bayi sihat yang dilahirkan. Selain itu, soalan yang belum terjawab ialah apakah peratusan kejayaan penghasilan embrio dan bayi yang sihat melalui teknologi ini sebenarnya.

"Islam secara asasnya membenarkan penyelidikan perubatan bagi tujuan kebaikan sejagat, tetapi penyelidikan itu mestilah selari dengan prinsip yang ditetapkan iaitu asas peraturan dalam Islam ialah mendatangkan kebaikan dan menjauhi kemudaratan.

"Islam memelihara kesucian keturunan manusia dan mencegah perkara boleh mendatangkan kekeliruan kepada keturunan. Nasab sangat penting dipelihara dalam syariah kerana ia mempunyai implikasi kepada hukum lain dan bagaimana pula hubungan penderma, adakah mereka punya hak terhadap anak itu," katanya.

Mengulas mengenai hukum pula, beliau berkata, belum ada kenyataan rasmi daripada organisasi Islam mengenai prosedur diperkenalkan itu.

Bagaimanapun, fatwa mengenai pengklonan manusia reproduktif telah dikeluarkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa pada tahun 1997 yang memutuskan pengklonan manusia membabitkan penghasilan zuriat menggunakan apa-apa kaedah membabitkan orang ketiga (penderma sel badan, ovum, sperma atau rahim) adalah dilarang.

Azizan berkata, merujuk Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang membincangkan hukum menggunakan khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah haram walaupun sperma dan ovum daripada suami isteri yang sah.

Katanya, ini kerana walaupun rawatan bagi membantu reproduksi banyak memberi manfaat, tetapi pada masa sama boleh menyebabkan kecelaruan sistem kekeluargaan dan keturunan.

"Sebenarnya, Barat pun masih bertanya kerana yang membesarkan bayi itu bukan baka sahaja, tetapi mitokondria yang menghasilkan tenaga juga menyumbang. Dari segi etika juga akan menimbulkan isu etika pengklonan yang membabitkan ibu bapa, juga penderma dan anak bakal dilahirkan.

"Namun, isu ini boleh dibincangkan dan dibahaskan kerana kita juga ingin tahu pandangan Islam mengenainya. Masyarakat juga boleh memahami isu ini bukan sahaja dari aspek teknologi, perubatan, tetapi hukum kerana setiap yang berlaku perlu menepati syariat," katanya.

MERUJUK Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang membincangkan hukum menggunakan khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah haram walaupun sperma dan ovum daripada suami isteri yang sah.
MERUJUK Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 yang membincangkan hukum menggunakan khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah haram walaupun sperma dan ovum daripada suami isteri yang sah.

Mitokondria tak sihat ujian Tuhan

Lagi satu katanya, umat Islam perlu memahami ada kalanya mitokondria tidak sihat itu adalah antara ujian Allah SWT untuk hamba-Nya memahami bahawa apa yang berlaku ada kaitan dengan corak kehidupan dijalani mereka.

Beliau mengambil contoh emosi serta niat boleh mempengaruhi dan mengubah keadaan kesihatan sel asal manusia menyebabkan ia berubah seperti hadis mengenai titik hitam dalam hati mereka yang melakukan maksiat.

"Ujian Allah itu ada sebab dan tidak semestinya mitokondria rosak selama-lamanya. Kita orang Islam ada banyak penyebab seperti makanan yang halal, perasaan, persepsi hidup, tekanan, dengki, khianat, yang menghasilkan toksik dalam badan sebagai contoh.

"Keadaan berasid itu boleh menyebabkan sel dalam badan ada potensi jadi barah. Sebab itu kita ada perubatan Islam yang boleh merawat penyakit hati. Semua tenaga datang daripada mitokondria ibarat bateri, tidak ada mitokondria sel kita mati. Saintis tidak boleh kata apa yang hidupkan sel, tetapi kita tahu ini kuasa Allah SWT," katanya.

KHIDMAT ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat haram menurut Islam. - Foto hiasan
KHIDMAT ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat haram menurut Islam. - Foto hiasan

INFO

Apa itu mitokondria?

Mitokondria adalah struktur kecil dalam sel yang menghasilkan tenaga untuk membolehkan badan berfungsi. Ia berada di luar nukleus yang menyimpan sel DNA. Mitokondria juga memiliki DNA sendiri yang membentuk kira-kira 0.1 peratus daripada jumlah DNA sel dan tidak memberi kesan kepada ciri-ciri yang membuat setiap orang itu unik seperti penampilan dan personaliti.

Apakah yang menyebabkan penyakit DNA mitokondria?

Apabila DNA mitokondria mengandungi kecacatan genetik, mitokondria tidak berfungsi dengan betul, maka tidak menghasilkan tenaga yang cukup. Ini menyebabkan penyakit DNA mitokondria. Penyakit DNA mitokondria adalah penyakit genetik. Terdapat banyak kecacatan genetik yang berbeza boleh menyebabkan penyakit. Oleh itu, gejala DNA mitokondria dan tahapnya berbeza antara penghidap penyakit DNA mitokondria.

Apakah tanda-tanda penyakit DNA mitokondria?

Gejala berbeza bergantung kepada organ yang terbabit antaranya kehilangan kawalan ke atas pergerakan, kelemahan otot dan kesakitan. Ia boleh menyebabkan penyakit jantung, gangguan perut dan usus serta gangguan otak. Keterukan penyakit DNA mitokondria berbeza daripada ringan hingga sangat melemahkan, dan ia boleh menyebabkan kematian kepada kanak-kanak.

Bolehkah penyakit DNA mitokondria dirawat atau diubati?

Tidak ada ubat untuk penyakit DNA mitokondria pada masa ini. Rawatan semasa bertujuan untuk mengurangkan kesan gejala tetapi tidak mengubah perjalanan penyakit.

 SETIAP sel manusia mengandungi dua bahagian utama iaitu nukleus dan sitoplasma. Nukleus mengandungi DNA iaitu kod genetik yang membentuk baka sementara sitoplasma adalah bengkel sel yang mana kegiatan harian berlaku dan mitokondria sebahagian daripada sitoplasma yang tugasnya membekalkan tenaga.
SETIAP sel manusia mengandungi dua bahagian utama iaitu nukleus dan sitoplasma. Nukleus mengandungi DNA iaitu kod genetik yang membentuk baka sementara sitoplasma adalah bengkel sel yang mana kegiatan harian berlaku dan mitokondria sebahagian daripada sitoplasma yang tugasnya membekalkan tenaga.

Bagaimanakah ia dipindahkan?

Kecacatan DNA mitokondria yang membawa kepada penyakit DNA mitokondria sering diturunkan dari ibu kepada anak. Orang mewarisi DNA mitokondria yang rosak boleh membangunkan gejala atau menjadi pembawa tanpa mengalami gejala. Dalam kedua-dua kes mereka akan mewariskan kecacatan kepada anak mereka.

Apa yang boleh dilakukan untuk mengelak penyakit ini?

DNA mitokondria yang rosak dari telur seorang ibu boleh digantikan dengan DNA mitokondria sihat daripada telur penderma. Ini menghalang kerosakan DNA mitokondria daripada diwarisi dan kanak-kanak itu tidak akan mendapat penyakit DNA mitokondria.

Apakah teknik yang digunakan dalam pendermaan mitokondria?

Dua kaedah boleh digunakan iaitu memindahkan DNA nuklear daripada telur penderma yang mengandungi mitokondria sihat dan DNA nuklear daripada telur ibu kemudiannya dimasukkan ke dalam sel itu. Telur sihat disenyawakan dan kemudian diimplan ke dalam rahim ibu melalui kaedah persenyawaan in vitro.

Kaedah kedua ialah pemindahan pronuclear membabitkan persenyawaan telur ibu kemudian dipindahkan DNA nuklear ibu kepada telur penderma dengan mitokondria sihat yang disenyawakan yang mana nuklear asal telah dikeluarkan. Telur sihat yang disenyawakan kemudian diimplan ke dalam rahim ibu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X