Jumaat, 6 March 2015 | 11:31pm
KEADAAN kelam kabut berlaku di hadapan pintu gol Kuantan FA (jersi oren) dalam aksi menentang NS Matrix pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Darul Makmur di sini malam ini. - Foto BERNAMA
PEMAIN T-Team Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) diasak oleh penjaga gol JDT II, Mohd Anis Faron (kanan) pada di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu malam ini. - Foto Aswadi Alias
PEMAIN sensasi Sabah, El Hadji Diouf (kiri) diasak pemain KL SPA Putrajaya, Md Azlam Haja Najumudin pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Lano Lan
PEMAIN Kedah, Keith Nah (kiri) diasak oleh pemain PKNS FC, Keisuke Ogawa dalam aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium MBPJ. - Foto Sairien Nafis

Liga Perdana: NS Matrix rampas tangga teratas daripada JDT II

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan (NS) Matrix kendalian K Devan muncul pendahulu baharu Liga Perdana selepas meraih kemenangan ketiga menewaskan Kuantan FA 3-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini - sekali gus merampas status itu daripada pendahulu sebelum ini, Johor Darul Ta'zim II (JDT II).

Gol NS Matrix dijaringkan Shahrizal Saad seawal 34 saat permainan diikuti dua jaringan Francis Forkey Doe pada minit kelima dan ke-71 manakala gol tunggal tuan rumah dijaringkan Milan Purovic, minit kelapan.

JDT II mengalami kekalahan sulung musim ini selepas tewas 3-1 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dan mereka terus ditimpa malang apabila turut dipintas Pulau Pinang yang berjaya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 menerusi jaringan tunggal Faiz Subri pada minit ke-38 di Stadium Bandaraya.

Tiga gol T-Team dijaringkan Farhod Tadjiev pada minit ke-43 (penalti) dan minit ke-47 serta Mohd Nor Hakim Hassan minit ke-89 manakala gol JDT II disumbat Leandro Velazquez, minit ke-71.

Selepas empat perlawanan, NS Matrix dan Pulau Pinang berkongsi 10 mata selepas meraih tiga kemenangan dan sekali seri tetapi dipisahkan perbezaan jaringan untuk menghuni dua tangga teratas diikuti JDT II di tangga ketiga dengan sembilan mata.

Sabah kekal di tangga keempat dengan sembilan mata selepas berjaya menewaskan KL SPA 4-1 di Stadium Likas menerusi jaringan Zuraindey Jumai pada minit ke-29, Leopold Alphonso (m-31), Eamon Zayed (m-48) dan Izuan Salahuddin (m-64) manakala gol tunggal pelawat menerusi Raja Md Hafillah (m-65).

Sementara itu, dua perlawanan yang berlangsung petang tadi berkesudahan dengan PKNS FC menewaskan Kedah 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk kekalahan sulung Kedah musim ini manakala UiTM FC tewas 3-1 kepada DRB-HICOM di Stadium UiTM, Shah Alam untuk tuan rumah turun ke tangga ke-10 liga.

Berita Harian X