Sabtu, 7 March 2015 | 3:48pm

Tiada lagi Datin Maimon

KUALA LUMPUR : Pelakon dan pelawak, Afdlin Shauki memilih untuk menghiburkan peminat dengan intipati berunsur kerohanian dan mengingatkan orang tentang Islam.

"Saya cuba untuk membuat lawak serta menghiburkan orang ramai dengan menyelitkan 'content' yang mengingatkan orang tentang Islam. Saya ingin menggunakan platform komedi untuk berdakwah.

"Ada golongan ustaz yang menegur saya berpakaian wanita jadi saya memutuskan untuk tidak lagi memainkan watak sebagai Datin Maimon," kata Afdlin ketika ditemui pada majlis sidang media Lawak Ke Der 2015 di Istana Budaya, di sini, kelmarin.

Afdlin memutuskan tidak akan tampil lagi sebagai Datin Maimon selepas mendapat teguran daripada golongan ustaz.

Dia turut menghubungi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan bertanya perihal penampilannya sebagai wanita ketika membuat persembahan di pentas lawak.

"Saya tidak mahu memandang rendah perkara sebegini kerana saya pun sudah menunaikan umrah. Itu sangat penting untuk saya maka saya membuat keputusan untuk tidak melakonkan watak sebagai Datin Maimon lagi," kata Afdlin.

Datin Maimon adalah karakter yang dilakonkan Afdlin Shauki sewaktu menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM2011) serta persembahan komedi Lawak Ke Der yang menjadi popular dikalangan peminat.

Selain itu, Afdlin bakal tampil membuat persembahan secara solo di pentas Lawak Ke Der 2015. Dia dicabar oleh Hans Isaac untuk beraksi solo dan bukan sebagai kumpulan Boboi.

"Pasti ramai yang tidak tahu yang saya turut membuat persembahan 'stand-up comedy' untuk golongan korporat. Saya akan menyediakan beberapa jalan cerita untuk dipersembahkan kepada peminat Lawak Ke Der nanti mengikut kesesuaian mereka," kata Afdlin.

32 dibaca
Berita Harian X