Isnin, 9 March 2015 | 12:08am
PELAKON, Amar Baharin. - Foto Adi Safri
PELAKON, Amar Baharin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Amar Baharin. - Foto Adi Safri
PELAKON, Amar Baharin. - Foto Adi Safri

Erra inspirasi Amar Baharin

PELAKON, Amar Baharin. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Pelakon, Amar Baharin mengaku dia memang meminati pelakon jelita, Erra Fazira.

"Sejujurnya, saya memang minat Erra Fazira dari dulu sampai sekarang. Bagi saya dia memang layak bergelar primadona filem Melayu.

"Banyak filem dia (Erra) yang memberikan saya inspirasi untuk teruskan kerjaya dalam bidang seni. Antaranya seperti Maria Mariana, Sembilu dan banyak lagi," kata Amar kepada BH Online baru-baru ini.

Bekas finalis program realiti Anak Wayang (2009) itu dikatakan menjadi punca keretakan hubungan rumah tangga Erra Fazira dan Engku Emran, namun Amar menafikan gosip itu.

"Saya banyak berkongsi mengenai hal kerjaya dengan Erra kerana saya anggap dia sebagai seorang 'senior' yang saya hormati. Tidak lain daripada seorang kakak," tegas Amar lagi.

Amar berpendapat gosip dengan Erra sudah lama berlalu tetapi dia tiada sebarang masalah untuk bergandingan dengan pelakon itu.

PELAKON, Amar Baharin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Bagi saya Erra Fazira ini memang sangat sempoi. Walaupun dia bekas ratu cantik, Erra mempunyai karakter yang 'gila-gila' dan tidak 'control' ayu.

"Itu yang menjadikan saya selesa berkawan dengannya. Erra nampak seperti tidak kelakar tetapi dia pandai berlawak," katanya.

Gosip Amar dan Erra kembali hangat diperkatakan apabila mereka muncul sebagai artis undangan untuk rancangan hiburan, Ye Ke baru-baru ini.

"Ketika Michelle (penerbit) rancangan itu telefon, saya tidak diberitahu senarai artis yang turut terbabit dalam rancangan itu.

"Saya tidak terkejut tetapi tertanya-tanya apakah tujuan mereka namun penggambaran itu menyeronokkan dan saya juga tidak mempunyai masalah untuk menjawab sebarang soalan," kata Amar sambil tergelak.

Tegas Amar, dia ingin fokus kepada kerjaya seni dan tidak mahu dikaitkan lagi dengan mana-mana wanita kerana sedikit sebanyak menjejaskan kerjaya lakonannya.

Dalam perkembangan terkini, Amar baru saja selesai penggambaran drama Mr London Ms Langkawi bergandingan bersama Izara Aishah dan Zul Ariffin di bawah arahan Nizam Zakaria terbitan Global Station Sdn Bhd.

Amar juga bakal menjayakan sebuah telefilem karya Rashid Sibir berjudul Hujan Pagi untuk siaran Hari Raya nanti. Selain Amar, telefilem itu turut membariskan pelakon tersohor lain termasuk Fauziah Nawi, Zulhuzaimy dan Pekin Ibrahim.

Berita Harian X