Rabu, 11 March 2015 | 5:48pm

11Street perkenal zon penjual untuk PKS


KUALA LUMPUR: 11street, pasar dalam talian hari ini memperkenalkan pusat pendidikan dan kemudahan sokongan pertama di Malaysia dikenali sebagai 'Zon Penjual' untuk memenuhi keperluan operasi e-dagang perniagaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif 11street, Hoseok Kim, berkata syarikat itu boleh membimbing PKS daripada mendirikan kedai dalam talian kepada menguruskan perniagaan untuk meningkatkan jualan.

Inisiatif mewujudkan 'Zon Penjual' itu kena pada masanya untuk meningkatkan pasar e-dagang negara ke tahap kematangan baharu.

"Kami boleh menawar dan memindah pengetahuan, kepakaran dan keupayaan untuk membantu PKS beroperasi dalam talian," katanya selepas pelancaran pusat berkenaan di sini, hari ini.

Terletak di Menara Nu, KL Sentral, pusat itu ditubuhkan untuk program bimbingan, latihan dan pembangunan perniagaan e-dagang.

Kim berkata, kursus latihan dan pembangunan itu adalah percuma dan dijalankan sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Google Malaysia telah bekerjasama untuk menyokong program latihan dan pembangunan perniagaan dalam talian 11street itu.

Pengarah MDeC Untuk E-Dagang, Wee Huay Neo, berkata berikutan perkembangan pesat industri e-dagang di Malaysia, terdapat peluang yang banyak untuk platform ini membantu PKS menyertai ekosistem e-dagang.

PKS adalah satu daripada empat komuniti penting yang dikenal pasti untuk campur tangan awal di bawah inisiatif Digital Malaysia MDeC, untuk menggunakan model perniagaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti.

Ditubuhkan di Korea sejak 2008, 11street adalah penyedia pasar e-dagang global terkemuka dengan 300,000 penjual berkhidmat kepada lebih 22 juta pelanggan di seluruh dunia dengan nilai dagangan kasar tahunan RM19.80 bilion.

11street turut beroperasi di Turki dan Indonesia. - BERNAMA

Berita Harian X