Jumaat, 13 March 2015 | 12:11am
FINALIS Kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Didie Alias pada Siri Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
DIDIE Alias bersama Zizan (kiri), Sharifah Shahira (kanan), dan Raja Azura sebagai pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGACARA Anugerah Bintang Popular 2011, Raja Azura, Sharifah Shahira, Didie Alias dan Zizan Razak di Arena Of Stars, Genting Highlands. - Foto Surianie Mohd Hanif
DIDIE Alias di permaidani merah pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011, di Genting Highlands. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
DIDIE Alias pada sidang media pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. - Foto Rohanis Shukri
DIDIE Alias, Reza (kiri) dan Aril di permaidani merah Festival Filem Malaysia ke-24, di PICC, Putrajaya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Imej pelik hanya di pentas - Didie Alias

Pelakon dan pengacara, Didie Alias yang pernah mendapat jolokan Lady Gaga Malaysia, mengakui masih mengekalkan imej pelik, namun hanya menonjolkan gaya uniknya pada acara tertentu bersesuaian usia serta keperluan majlis.

Tidak hairan sejak melahirkan anak bongsunya, Muhammad Dayyan Norisham, kira-kira sembilan bulan lalu, ramai melihat ibu kepada enam cahaya mata ini lebih feminin di pentas.


DIDIE Alias ketika hadir pada Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di PICC, Putrajaya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pemilik nama Fadzilah Mohd Ali, 42, itu berkata, perubahan yang dilakukan bukan disebabkan desakan sesiapa atau kritikan ramai, sebaliknya lebih kepada faktor alami.

"Andai diselak gambar lama ketika saya mula-mula mengenakan mekap dan berfesyen ala Lady Gaga sekitar 2010, sebenarnya bukan sepanjang masa pun saya tampil pelik begitu, kecuali atas urusan kerja.

"Sekarang pun saya masih menyenangi gaya berkenaan, cuma mungkin sejak sarat hamil dan kemudian melahirkan anak membuatkan imej yang kerap mendapat kritikan itu sudah tidak kelihatan.


DIDIE Alias pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Arena of Star, Genting Highlands. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Apa pun, tunggu nanti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 pada 5 April ini kerana saya kembali muncul dengan satu lagi gaya unik berteraskan tema Cinta," katanya yang tetap mengambil komen orang ramai dari sudut positif.

Finalis kategori Artis Komedi Wanita Popular itu berbesar hati apabila masih menerima maklum balas, sama ada positif mahu pun negatif, yang dijadikan ingatan supaya tidak mudah terleka.

"Saya bermula dari bawah sebelum berada pada tahap sekarang. Bagi saya, kritikan adalah perlu supaya tidak lena diulit pujian, sekali gus menandakan masyarakat ambil berat walaupun daripada komen yang diberikan, ada di antaranya kita tahu bukan pun meminati kita.


DIDIE Alias pada sidang media dan majlis pelancaran Jom Melancong bersama Didie Alias, di Menara Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Terima kasih kerana masih sudi mengingatkan saya supaya bijak mengemudi diri dan kerjaya. Seperti yang saya tegaskan dulu, imej sebegitu hanya di pentas, bukan sewenang-wenangnya saya tonjolkan.

"Apa yang dilihat di pentas itu ialah Didie Alias dan di rumah pula saya hanya wanita biasa bernama Fadzilah Mohd Ali yang mempunyai tanggungjawab sebagai isteri kepada Nor Hisham Ismail serta ibu kepada enam anak," katanya kepada BH PLUS.


DIDIE Alias bersama kumpulan Max 24:7 melangkah di permaidani merah pada Malam Anugerah Bintang Popular 2012, di Stadium Putra, Bukit Jalil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kembali bersaing pada majlis pengiktirafan anjuran BH musim ke-28 ini, pemenang gelaran Artis Komedi Wanita Popular 2011 dan 2012 ini menyatakan rasa terharu apabila terus diundi hingga ke senarai akhir.

Enggan mensasarkan sebarang harapan, wanita berjiwa kental yang kini berstatus penerbit dan pengarah program TV ini sebaliknya meletakkan segala-galanya di tangan pengundi.

"Kalah atau menang berbalik kepada rezeki seseorang.

   "Andai saya dapat kembali trofi berkenaan, hanya syukur yang mampu saya luahkan. Namun jika sebaliknya, saya tidak ralat kerana pernah menggenggam trofi terbabit sebanyak dua kali," katanya yang tewas di tangan Jihan Raja Lawak pada edisi ABPBH yang lalu.

Berita Harian X