Jumaat, 13 March 2015 | 12:47am

Siapa kekal kuasai takhta?

wanfakhrul@bh.com.my

PEMAIN NS Matrix, Forkey Doe pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 6 gol. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Perdana memasuki perlawanan kelima, hari ini dengan tumpuan terus terarah kepada dua pasukan teratas, Negeri Sembilan (NS) Matrix dan Pulau Pinang yang muncul pasukan belum tewas setakat ini, berkongsi 10 mata hasil tiga kemenangan dan sekali seri.


FORKEY Doe meraikan jaringan pertama untuk NS Matrix dalam perlawanan Piala FA menentang UiTM FC pada pusingan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 27 Februari lalu. - Foto Hazreen Mohamad

NS Matrix kendalian jurulatih berpengalaman, K Devan yang mudah membenam Kuantan FA 3-1 di tempat lawan, minggu lalu dijangka menghadapi cabaran sukar berdepan pasukan dari Liga Super musim lalu, T-Team bimbingan Tomislav Steinbruckner di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Ini kerana, T-Team yang tewas 2-0 kepada PKNS FC pada aksi sulung, bangkit mengikat Pulau Pinang 0-0 dan Kedah 0-0 serta menyingkirkan pasukan Liga Super, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 pada pusingan kedua Piala FA sebelum membenam pula Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 3-1 pada aksi liga, minggu lalu.


IMBAS kembali aksi pusingan kedua Piala FA, JDT II menentang PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, 28 Februari lalu. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pulau Pinang pula yang belum bolos selepas lima perlawanan, termasuk menang 1-0 ke atas Perlis pada pusingan kedua Piala FA pastinya mahu mengekalkan rekod bersih itu apabila berdepan Kedah di Stadium Bandaraya.

Prestasi Kedah kendalian Tan Cheng Hoe tampak tidak menentu apabila akhirnya mengalami kekalahan sulung musim ini selepas tewas 2-1 kepada PKNS FC, minggu lalu, sekali gus sukar diramal sama ada mereka mampu memberi kesukaran terhadap Pulau Pinang kendalian Jacksen F Tiago atau terus mempamerkan aksi hambar.

Pertembungan pasukan tangga ketiga, JDT II dan PKNS FC di Stadium Pasir Gudang turut menjanjikan aksi menarik memandangkan tuan rumah, JDT II dibimbing Goran Paulic pasti mahu bangkit daripada kekalahan kepada T-Team minggu lalu yang 'mengganggu' permulaan cemerlang mereka musim ini.


AKSI Pulau Pinang bertemu KL, Jumaat lalu di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Namun harus diingat, PKNS FC kendalian E Elavarasan pasti mahu membalas dendam kekalahan 2-1 kepada JDT II pada pusingan kedua Piala FA, 28 Februari lalu yang menyaksikan tiga pemainnya dilayangkan kad merah pada penghujung permainan.

Sementara itu, pasukan tangga keempat, Sabah kendalian Justin Ganai yang diketuai bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf pasti mampu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri berdepan pendatang baharu, Kuantan FA di Stadium Likas untuk meraih tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan selepas mereka mudah meratah KL SPA 4-1 di laman sama, minggu lalu.

Kuala Lumpur pula yang terpaksa menggunakan Stadium UiTM, Shah Alam sebagai gelanggang sendiri berdepan UiTM FC sudah tentu tidak mahu terus kemarau kemenangan selepas tewas 1-0 kepada DRB-HICOM dan Pulau Pinang pada dua aksi terakhir.

Satu lagi perlawanan, pasukan tercorot, KL SPA memburu kemenangan sulung musim ini apabila berdepan DRB-HICOM di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.


PENYERANG import Pulau Pinang, Hilton Mauro Moreira (kanan) masih belum menjaringkan gol musim ini. - Foto Mikail Ong

INFO:
Jadual Liga Perdana

(Hari ini)
K LUMPUR mln UiTM FC
Std UiTM, Shah Alam, 4.45 ptg

KL SPA mln DRB-HICOM
Std MBPJ, Kelana Jaya, 4.45 ptg

SABAH mln KUANTAN FA
Std Likas, 8.15 mlm

NS MATRIX mln T-TEAM
Std TAR, Paroi, 8.45 mlm

P PINANG mln KEDAH
Std Bandaraya, 8.45 mlm

JDT II mln PKNS FC
Std Pasir Gudang, 8.45 mlm

Berita Harian X