Sabtu, 14 March 2015 | 12:42am
PEMAIN Pulau Pinang, Lee Gil Hoon (dua dari kiri) cuba dihalang beberapa pemain pasukan Kedah dalam saingan Liga Perdana memasuki perlawanan kelima, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Liga Perdana: Sabah lonjak pendahulu baharu; pesta gol di Paroi


PEMAIN JDT II, Bhaihakki Kaizan (kiri) diterjah pemain Selangor PKNS FC, Liew Kit Kong pada perlawanan Liga Perdana, di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada perlawanan Liga Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sabah melonjak selaku pendahulu baharu Liga Perdana pada hari yang menyaksikan 25 gol dijaringkan dalam enam perlawanan selepas tamat pusingan kelima, hari ini.

Eamon Zayed menjaringkan dua gol membantu Sabah menewaskan Kuantan FA 2-0 di laman sendiri manakala sejumlah lapan gol dijaringkan di Paroi apabila T-Team menewaskan tuan rumah, Negeri Sembilan Matrix 5-3 dalam satu saingan menarik.

Keputusan ini menyaksikan NS Matrix yang sebelum ini mendahului liga, jatuh ke tangga keempat carta liga manakala Pulau Pinang kekal di tangga kedua selepas seri 3-3 dengan Kedah di tempat sendiri.

Dalam perlawanan lain, Johor Darul Ta'zim (JDT II) kekal menghuni di tangga ketiga selepas seri 2-2 menentang PKNS FC manakala DRB-Hicom membelasah SPA Putrajaya 4-0.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, dua gol daripada penyerang import dari Libya, Eamon Zaayed pada minit ke-30 dan 59 membantu Sabah menerajui liga selepas berada pada kedudukan keempat sebelum perlawanan.

Sabah kini menghimpun 12 mata, kelebihan satu mata dengan pencabar terdekat Pulau Pinang.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan kelab T-Team berjaya meleburkan rekod tanpa kalah pasukan NS Matrix dengan kemenangan 5-3.

T-Team mendahului 3-1 pada separuh masa. Gol T-team dihasilkan oleh Mohd Nor Hakim pada minit keenam dan 60, Sadriddin Abdullaev (m-23 dan 74) dan Farhod Tadjiev pada minit ke-46.

Negeri Sembilan pula menjaringkan gol menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-26 dan 50 dan Shahrizal Saad pada minit ke-64.

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pasukan tuan rumah kekal di tangga kedua liga dengan 11 mata selepas seri 3-3 dengan Kedah.

Pulau Pinang meraih jaringan menerusi Faiz Subri pada minit ke-38 dan dua gol oleh Hilton Mauro Moreira pada minit ke-46 dan 91 manakala Kedah menghasilkan jaringan menerusi Bang Seung Hwan pada minit keempat dan 89 manakala Baddrol Bakhtiar menghasilkan gol pada minit ke-14.

JDT II pula mengekalkan kedudukan tangga ketiga liga selepas hanya mampu seri 2-2 dengan Selangor PKNS di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Tuan rumah menghasilkan jaringan menerusi pemain import, Nicholas Delmonte pada minit ke-20 dan Shahril Ishak pada minit ke-73 sebelum PKNS bangkit mengutip satu mata menerusi jaringan Gabriel Guerra minit ke-82 dan Farderin Kadir, enam minit kemudian.

Pada perlawanan sebelah petang, DRB-Hicom mencatat kemenangan bergaya menewaskan SPA Putrajaya FC 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Pemain import DRB-Hicom, Ivan Babic bertindak cemerlang dengan dua jaringan pada mint ke-61 dan 71, Mohd Fakhrullah Rosli pada minit ke-42 dan Hasrul Abu Bakar pada minit ke-83.

Di Stadium Universiti Shah Alam (UiTM), pasukan tuan rumah meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur menerusi jaringan Syed Ariff Syed Muhd Uzir pada minit ke-39. - BERNAMA

Berita Harian X