Ahad, 15 March 2015 | 2:46pm
AKSI pelumba British, Lewis Hamilton bersama jentera Mercedes di Litar Albert Park. - Foto EPA
AKSI pelumba British, Lewis Hamilton bersama jentera Mercedes di Litar Albert Park. - Foto EPA

Hamilton terus penguasaan, juarai F1 GP Australia 2015

MELBOURNE: Pelumba Britain, Lewis Hamilton meneruskan penguasaannya dengan memenangi perlumbaan pembuka tirai Formula Satu (F1) musim ini di Grand Prix Australia, sebentar tadi.

Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu menafikan cabaran rakan sepasukannya, Nico Rosberg yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua.

Keputusan turut memberi kemenangan satu dua pertama Mercedes musim ini dengan podium di Albert Park terakhir diisi pelumba Ferrari, Sebastian Vettel.

Hamilton yang juga Juara dunia 2014 menguasai perlumbaan sejak daripada permulaan dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 1.3 saat di depan pelumba Jerman yang juga seteru utamanya musim lepas, Rosberg.

Begitupun, perlumbaan GP Australia turut mencetus pelbagai kontroversi dengan hanya 15 jentera memulakan perlumbaan dengan 11 berjaya menamatkannya.

Satu-satunya pelumba yang gagal meraih mata kejuaraan ialah pelumba McLaren, Jenson Button yang menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir.

Perlumbaan pusingan dua F1 dijadualkan 29 Mac ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Berita Harian X