Rabu, 18 March 2015 | 3:40pm

Selayang StarCity Mall tarik penyewa utama Jepun

SUBANG JAYA: Selayang StarCity Mall, pusat beli belah sehenti bernilai RM400 juta yang akan dibuka pada separuh kedua 2016, mendapat sambutan memberangsangkan apabila 82 peratus daripada ruang niaga sudah disewakan, diterajui tiga penyewa utama.

Pengurus Besar Bahagian Pelaburan Hartanah Leadmont Development Sdn Bhd, Lum Youk Lee, berkata tiga penyewa utama ialah pengendali rangkaian pasar raya dari Jepun, Golden Screen Cinemas (GSC), Pacific Hypermarket and Departmental Store serta Holiday Villa yang akan menguruskan suite pereka dan suite khidmat empat bintang.

Rangkaian pasar raya Jepun itu akan menduduki satu tingkat dengan keluasan lantai 53,000 kaki persegi, Pacific Hypermarket and Departmental Store akan menduduki sekitar 80,000 kaki persegi merangkumi dua tingkat, sekali gus menjadikannya cawangan pertama di Lembah Klang, manakala GSC pula menawarkan 10 dewan pawagam dengan 1,500 tempat duduk.

"Selain itu, antara perniagaan yang sudah mengesahkan penyertaan di Selayang StarCity Mall ialah Celebrity Fitness, Kaison Home, K-Max Karaoke, Mr DIY, Sakae Sushi, Sushi King, Texas Chicken dan Sports Direct," katanya pada majlis meraikan bakal penyewa Selayang StarCity Mall di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Leadmont Development, Mark KS Tung.

Dibangunkan anak syarikat Leadmont Development, Sierra Delima Development Sdn Bhd, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) Selayang StarCity Mall dianggarkan sekitar RM400 juta. Keseluruhan GDV Selayang StarCity ialah RM1.6 bilion.

Empat daripada tujuh tingkat pusat beli belah itu dikhaskan bagi ruang jualan merangkumi ruang sewaan bersih sekitar 550,000 kaki persegi.

Pusat beli belah itu juga disokong suite pereka dan suite khidmat empat bintang diuruskan Holiday Villa.

Youk Lee berkata, Selayang StarCity Mall dijangka meraih pendapatan antara RM30 juta hingga RM40 juta menerusi kadar sewaan yang dikenakan untuk tempoh tiga tahun pertama operasi, sebelum kadar sewa ditingkatkan pada kitaran sewaan kedua berikutnya.

Dalam perkembangan lain, Mark berkata Leadmont Development akan membangunkan projek bercampur termasuk pembinaan 4,000 unit kediaman baru dalam tempoh tiga tahun akan datang, membabitkan anggaran GDV antara RM3 bilion hingga RM4 bilion.

Ia merangkumi pembangunan di kawasan seluas dua hektar di pusat bandar Johor Bharu, pembinaan hotel lima bintang setinggi 44 tingkat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan pembangunan tepi laut di Kota Kinabalu.

Berita Harian X