Jumaat, 20 March 2015 | 6:25am
GARY Steven Robbat (dua dari kiri) tidak dapat dipanggil Dollah pada kem latihan kali ini kerana sedang menjalani penggantungan tiga bulan. - Foto Osman Adnan
PEMAIN paling senior, Amri Yahyah (tengah) terus mendapat kepercayaan Dollah selepas persaraan kapten, Shukor Adan di pentas antarabangsa. - Foto Osman Adnan
DOLLAH mengharapkan muka-muka baharu menyerlah pada aksi persahabatan bertemu Oman, 26 Mac ini. - Foto Osman Adnan
PENOLONG jurulatih kebangsaan, Reduan Abdullah (kiri) sentiasa menjadi rujukan Dollah untuk merencanakan strateginya. - Foto Osman Adnan

Pentas Dollah uji muka baharu


PEMAIN veteran, Indra Putra Mahayuddin (dua dari kiri) mengetuai rakan sepasukan lain pada sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.

Genap tiga bulan selepas muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014, Disember lalu, skuad Harimau Malaya kembali dihimpunkan pengendali, Dollah Salleh pada kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.

Persiapan itu bagi menghadapi aksi persahabatan sulung tahun ini berdepan pasukan ranking ke-96 dunia, Oman di Muscat, 26 Mac ini.

Ia dilihat sebagai satu-satunya pentas untuk Dollah, 52, menguji muka-muka baharu yang dipanggilnya kali ini sebelum mengumumkan skuad terbaik pilihannya bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019 yang berjalan serentak sebagai Kelayakan Piala Dunia 2018 bermula Jun ini.

Untuk kem latihan bertemu Oman ini, Dollah hanya memanggil 13 daripada 22 pemain skuad Piala Suzuki AFF 2014 bagi membolehkan dia menguji tujuh pemain lain termasuk tiga muka baharu - Akram Mahinan, 22, dan Che Rashid Che Halim, 21, dari pasukan Liga Perdana Johor Darul Ta'zim II (JDT II) serta pemain sayap FELDA United, Ahmad Syamim Yahya, 25.


PELATIH skuad kebangsaan tetap bersemangat menjalani latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi biarpun mereka baru saja selesai tugasan Piala FA.

Empat lagi pemain yang kembali dipanggil ialah Ahmad Hazwan Bakri, 24, dari Selangor yang pernah meledak hatrik ketika aksi sulungnya bersama skuad kebangsaan menewaskan Sri Lanka 6-0 pada aksi persahabatan, 28 April 2012, Joseph Kalang Tie, 28, dari Sarawak yang tidak beraksi di Piala Suzuki AFF 2014 kerana melangsungkan perkahwinan serta Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan) dan R Gopinathan (Pahang).

Wan Zack, 24, dan Gopinathan, 26, pada asalnya berada dalam senarai menunggu, namun dipanggil Dollah untuk menggantikan dua pemain skuad Liga Super JDT, S Chanthuru dan Junior Eldstal yang masing-masing terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan buku lali dan betis.

Ia sekali gus dianggap tuah buat Wan Zack yang sebelum ini menjadi pilihan utama untuk posisi sayap kanan skuad kebangsaan sebelum dihimpit masalah kecederaan serta Gopinathan yang sering tidak menjadi apabila beraksi di pentas antarabangsa, untuk membuktikan diri mereka layak terus berada dalam skuad Dollah tahun 2015 ini.


PEMAIN sayap Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Nor yang berada dalam senarai menunggu dipanggil Dollah untuk memulakan latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, malam tadi.

Langkah Dollah mencuba muka-muka baharu dan pemain lebih muda kali ini mengotakan janjinya selepas melihat skuad bidan terjun yang dipertaruhkan pada Piala Suzuki AFF, meskipun mencipta beberapa kejutan dan magis, namun gagal menandingi stamina barisan muda Thailand pada dua aksi final, Disember lalu.

Nyata masa begitu mencemburui Dollah untuk mencuba lebih banyak kombinasi pemain, namun dengan sentuhan magis dimilikinya, bekas pengendali MPPJ FC, Selangor, Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijangka mampu mendapat ilham barisan idamannya menjelang bermulanya saingan kelayakan, Jun ini.

Skuad kebangsaan akan berlepas ke Muscat, Isnin ini untuk misi besar Harimau Malaya yang kini berada di ranking ke-153 mencipta kejutan ke atas Oman yang jauh kedudukan rankingnya lebih baik daripada kita.

Biarpun situasi semasa di Liga Super dan Liga Perdana menyaksikan para penyerang tempatan kebuntuan jaringan dan berdepan masalah kesukaran mendapat tempat di posisi asal mereka itu dalam kesebelasan utama kelab masing-masing, inilah pentas untuk mereka membuktikannya.

Empat penyerang menjadi taruhan Dollah kali ini - Norshahrul Idlan Talaha, Amri Yahyah, Abdul Manaf Mamat dan pastinya Ahmad Hazwan, pemain yang sedang pada prestasi terbaik bersama Selangor ketika ini untuk menggegar gawang Oman, 26 Mac ini.

INFO:

Senarai 20 pelatih skuad kebangsaan

Penjaga gol: Farizal Marlias (JDT), Khairul Azhan Khalid (PAH)

Pertahanan: S Kunanlan dan Fadhli Shas (JDT), Muslim Ahmad dan Afif Amiruddin (PDRM), Zubir Azmi (TER), Che Rashid Che Halim (JDT II)

Tengah: Safiq Rahim (JDT), Indra Putra Mahayuddin dan Ahmad Syamim Yahya (FELDA), Baddrol Bakhtiar (KED), Joseph Kalang Tie (SAR), Wan Zack Haikal Wan Nor (KEL), R Gopinathan (PAH), Akram Mahinan (JDT II)

Penyerang: Norshahrul Idlan Talaha (ATM), Amri Yahyah (JDT), Abdul Manaf Mamat (TER), Ahmad Hazwan Bakri (SEL)

Berita Harian X