Jumaat, 20 March 2015 | 3:38pm

Mayat lelaki Myanmar ditemui dalam bilik

IPOH: Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Seri Botani di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong, berkata mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemui majikannya dalam keadaan bertutup dengan selimut kira-kira 9 malam.

"Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia dalam lingkungan enam hingga 12 jam. Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui kesan darah yang telah kering," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sum berkata, suspek dipercayai menggunakan senjata tajam kerana terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, muka dan belakang badan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kesan pergelutan walaupun bilik mangsa berada dalam keadaan tidak tersusun," katanya.

Katanya, kedai dua tingkat berkenaan dihuni tujuh pekerja termasuk mangsa dan semua mereka adalah warga Myanmar.

Difahamkan, mangsa bekerja dengan majikannya sejak dua tahun lalu dan hanya datang menetap di rumah berkenaan apabila mempunyai projek.

"Mangsa berada di sini sejak sebulan yang lalu. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan enam lelaki Myanmar yang tinggal bersama si mati untuk membantu siasatan," katanya.

Sum berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

- BERNAMA

Berita Harian X