Sabtu, 21 March 2015 | 5:00am

Bahasa Melayu patut jadi hak milik bersama

Usaha menegakkan identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu sebagai bahasa negara, didakwa sesetengah pihak sebagai rumit dan tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini dikaitkan dengan bentuk masyarakat kita yang heterogen, yakni terdiri daripada pelbagai kaum.

Bagi mereka, ia mudah dilakukan dalam masyarakat homogen, seperti di Korea Selatan yang terdiri daripada satu kaum sahaja. Kalau contoh Korea itu digunakan, diakui ia lebih mudah untuk membangkitkan semangat kebangsaan daripada anak watan. Semuanya bukan sahaja berkongsi, tetapi berasal daripada tradisi, budaya dan bahasa yang sama.

Mereka mempunyai perasaan sentimental dan primordial asli serupa yang sejati. Perasaan ini tercetus daripada tempat asal, sistem kepercayaan, budaya, amalan sosial dan bahasa yang sama. Hal sebegini juga jelas kelihatan dalam masyarakat Jepun. Masyarakat heterogen yang dikatakan susah untuk bersatu sebenarnya tidak selalu bersifat sedemikian. Ini dapat dilihat dalam masyarakat Amerika Syarikat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Walaupun begitu, mereka masih boleh bersatu dalam bukan sahaja berkongsi, tetapi bersedia menegakkan perasaan sentimental dan primordial sama.

Rapatkan jurang

Walaupun berasal daripada pelbagai latar dan tidak pun berkongsi tempat asal dan warisan yang sama, khususnya dalam kalangan penghijrah awal, mereka sanggup merapatkan jurang demi membina kehidupan baharu di tempat lain, sebagai satu bangsa bersatu. Ini sepatutnya ikut berlaku di Malaysia. Secara semangatnya selepas sekian lama merdeka, kita sepatutnya sudah dapat menerima perbezaan yang wujud, untuk memperlihat minat mendalam dan ikhlas untuk menjadi satu, dalam mendukung aspirasi negara.

Antaranya identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu. Kita sepatutnya menjadi entiti politik rakyat Malaysia yang menerima bahasa Melayu sebagai mewakili setiap warganegara Malaysia untuk apa-apa jua tujuan. Dengan ini, selain peranan integratif yang menyatupadukan kita semua, bahasa Melayu juga perlu diterima dari segi peranan instrumentalnya yang mampu memajukan rakyat serta negara Malaysia. Sehubungan ini, bahasa Melayu perlu diterima sebagai bahasa seluruh rakyat Malaysia. Dengan ini, ia boleh dikenali sebagai Bahasa Malaysia yang cuba dipopularkan sesetengah pihak.

Kepelbagaian dahulu dan kini di Amerika Syarikat sebenarnya berjaya diatasi apabila semua pihak bersedia untuk berasimiliasi, setidak- tidaknya dalam merealisasikan nasionalisme Amerika, bertujuan memupuk dan mendukung kehidupan nasional yang serupa. Antaranya menerima dan menjadikan bahasa Inggeris bahasa negara dan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan yang mengamalkan satu aliran persekolahan. Kepelbagaian di Malaysia berbentuk pluralisme. Walaupun begitu, masing-masing ingin menegakkan nasionalisme etnik sebagai benteng utama kerakyatan Malaysia dan bukannya nasionalisme Malaysia yang bersifat Melayu, seperti yang dipersetujui bersama ketika kemerdekaan.

Tidak perbaiki diri

Nasionalisme etnik ini kelihatan ketara pada kebanyakan lepasan sekolah vernakular, yang hanya fasih dalam bahasa ibunda, tetapi lemah dalam bahasa Melayu yang juga bahasa negara. Walaupun lemah, kesediaan untuk memperbaikinya kelihatan tiada sama sekali, baik peringkat individu atas dorongan sendiri mahupun masyarakat yang digerakkan pemimpin.

Walaupun dibenar mempelajari bahasa ibunda sebagai hak mereka, kaum bukan Melayu juga pada masa sama perlu bertanggungjawab memastikan bahasa Melayu ikut dikuasai dengan baik. Bahasa negara wajib diketahui secara bestari oleh semua rakyat Malaysia. Oleh itu, ia juga wajib dikuasai pada tahap tinggi oleh semua warga negara.

Sudah hampir enam dekad kita merdeka, sepatutnya tidak wujud pun sebarang masalah mengenai pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu yang baik, khususnya dalam kalangan generasi muda. Namun, inilah masalahnya. Ada sebilangan rakyat yang tidak mampu memperlihat pendukungan identiti nasional yang diwakili bahasa Melayu. Dalam hal ini, faktor heterogen tidak boleh digunakan sebagai alasan selepas kita berjanji untuk bersatu dalam kepelbagaian. Kita berjanji selepas mendukung identiti etnik masingmasing, kita semua menjunjung identiti nasional yang menggunakan lambang dan proses sosiobudaya Melayu.

alam hal ini, alasan heterogen perlu segera digantikan sikap yang lebih positif. Ini sebenarnya boleh dilakukan dengan mudah. Kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X