Rabu, 3 September 2014 | 1:57pm

Polis Johor rampas pistol, peluru

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim (tengah) menunjukkan senjata yang dirampas. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson beserta sembilan butir peluru daripada seorang lelaki di Persiaran Tanjung Satu pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, berkata hasil daripada serbuan susulan pula, polis telah menahan dua lelaki dan seorang perempuan berumur antara 30 hingga 54 tahun di beberapa tempat di Tampoi.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah kereta mewah jenis BMW.

"Siasatan mendedahkan semua suspek terlibat dalam kegiatan dadah di sekitar Johor Baharu. Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut Ismail, seorang daripada yang ditahan itu mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan kes cubaan bunuh dan dadah.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X