Ahad, 22 March 2015 | 10:19pm

Agrobazar Malaysia di Singapura lancar menu hidangan tradisional


DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) diiringi Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Datuk Samsol Bari Jamali (dua dari kanan) melihat nanas yang ditanam sempena lawatan kerja ke ladang dan pusat pembungkusan nanas MD2 di Ladang Ulu Tiram, Johor hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan 10 hidangan baharu terdiri daripada beberapa masakan tradisional Malaysia di Agrobazaar Malaysia di Singapura.

Menurut kenyataan kementerian itu, antara menu dilancarkan ialah kacang panjang masak lemak Negeri Sembilan, gulai ikan bawal Kedah, ayam percik Terengganu, laksa asam Pulau Pinang dan taugeh ikan masin.

"Hidangan lain yang dilancarkan pada hari ini ialah udang sambal petai, bubur pulut hitam, air batu campur buah-buahan tropika, minuman roselle dan smoothie nanas. Turut dipromosikan pada hari ini ialah nanas jenis MD2," kata kenyataan itu.

Ismail Sabri berkata, sejak dilancarkan tahun lalu sambutan yang diterima Agrobazaar itu amat menggalakkan.

Produk yang paling popular ialah durian, tambahnya.

Ismail Sabri menambah, FAMA akan terus menambahbaik bazar agro itu dan masakan lain yang akan diperkenalkan selepas ini ialah laksam Kelantan.

Selain itu terdapat permintaan supaya nasi kandar dijual di bazar agro tersebut, katanya.

Beliau menjelaskan, sehingga kini sejumlah 226 produk pertanian dan asas tani Malaysia dijual di Agrobazaar itu.

Ini termasuk madu, produk herba, sarang burung, kerepek dan buah-buahan bermusim seperti durian, manggis dan duku selain buah-buahan yang tidak bermusim.

Agrobazaar itu yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilancarkan bersama oleh Najib dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada Ogos tahun lepas. - BERNAMA

Berita Harian X