Rabu, 3 September 2014 | 4:12pm

JPJ minta tambah senjata api

JITRA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memohon jumlah senjata api yang dibekalkan kepada anggota penguat kuasanya ditambah, sekali gus memudahkan anggota dan pegawai di lapangan menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih selamat terutama ketika operasi berisiko.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, berkata untuk itu pihaknya memohon supaya cadangan penambahan yang dikemukakan pihaknya sebelum ini diberi pertimbangan sewajarnya, apatah lagi jumlah anggota dan pegawai JPJ yang memiliki lesen senjata api juga sudah bertambah.

"Sehingga kini 265 anggota dan pegawai penguatkuasa JPJ dibekalkan senjata api untuk tujuan kecemasan ketika operasi, sedangkan jumlah anggota yang memiliki lesen senjata api 1,300 orang.

"Tahun ini kita memohon penambahan 231 lagi senjata api untuk kegunaan anggota penguat kuasa, namun kita harap semua anggota yang memiliki lesen boleh dibekalkan senjata api kerana tugas penguatkuasaan ketika ini semakin mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Ujian Kemahiran Menembak Zon Utara yang disertai 80 anggota dan pegawai daripada Kedah, Perlis, Pulau, Pinang dan Perak di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini.

Yusoff berkata sehingga kini terdapat 4,500 anggota penguat kuasa JPJ di seluruh negara.

Berita Harian X