Isnin, 23 March 2015 | 7:09pm

Selangor tuai air hujan di rumah baharu

[email protected]

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan menggunakan air hujan dalam usaha menambah sumber air di negeri ini bagi mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata sistem penuaian air hujan (SPAH) akan digunakan untuk kegunaan tandas, mencuci lantai, menyiram pokok dan kerja pembersihan awam.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor turut digalak menggunakan sistem SPAH bagi kerja pembersihan yang boleh menjimatkan penggunaan air.

  "Kita mahu PBT mengguna pakai sistem ini kerana ia sudah pasti memberi pelbagai kebaikan terutama mampu untuk mengurangkan kebergantungan kepada air terawat.

  "Kerajaan negeri juga menggalakkan pemaju di kawasan perumahan baharu menggunakan sistem ini terutama untuk pembinaan rumah banglo dan teres," katanya selepas pelancaran sistem itu oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, di sini hari ini.

Elizabeth berkata, SPAH turut dilengkapi ciri perlindungan penggunaan tenaga berlebihan yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

  "Sistem ini juga dijangka mampu untuk mengurangkan penggunaan air terawat sekurang-kurangnya 30 peratus," katanya.

Berita Harian X