Selasa, 24 March 2015 | 12:10am

Album yang harus dimiliki


ALBUM Sense Of Love, 6ixth Sense.

Empayar muzik 6ixth Sense

Album: Sense Of Love

Artis: 6ixth Sense

Genre: Pop

Edaran: Indigital Sdn Bhd

Bertapak sejak tahun 2005, 6ixth Sense pernah memiliki empat album yang membentuk kematangan untuk berdikari. Akhir tahun 2013 menjadi titik tolak kepada mereka untuk bergerak bebas dan mencari hala tuju dalam meneruskan langkah dalam industri yang semakin mencabar.

Dikenali sebagai antara kumpulan yang berani, kepelbagaian yang mereka tampilkan dalam berkarya menerusi eksperimentasi dalam penyusunan lagu serta kreativiti penulisan membentuk kekuatan 6ixth Sense. Barangkali percubaan itu tidak sering menghadirkan kesan positif, 6ixth Sense membuktikan hayat mereka masih kekal dalam meneruskan perjuangan sebagai insan seni.

Tahun lalu menjadi permulaan yang menguji apabila mereka tampil bersama single, Sebuah Maksud. Meskipun terpilih sebagai lagu tema untuk drama, Aku Isterinya yang menghiasi slot Akasia di TV3, ia gagal mengangkat populariti 6ixth Sense ke tahap lebih selesa.

Berbekal pengalaman yang ada, 6ixth Sense enggan terus menoleh kepada kegagalan lalu. Mereka terus mengorak langkah dengan mengasah bakat baharu untuk meneruskan legasi yang sedia terpahat. Untuk permulaan, mereka memperkenalkan Sakura Band yang utuh memperjuangkan muzik pop.

Permulaan langkah Sakura Band digarap positif apabila dua lagu mereka diterima baik peminat. Setelah Hujan pernah terpilih menjadi lagu tema drama Diandra di TV3, manakala Pelarian pula dimuatkan sebagai lagu tema drama Jiwa juga di stesen yang sama, sekali gus memudahkan Sakura Band untuk membina tapak kukuh.

Terbaharu, 6ixth Sense menjalin kerjasama dengan Puteh Entertainment dan Lunasuara Records serta dibantu Indigital Sdn Bhd untuk melahirkan album kompilasi, Sense Of Love. Selain 6ixth Sense, album ini dimantapkan dengan kemunculan Sakura Band, Cherpen Band dan Zara Ali.

Sense of Love memuatkan lapan lagu yang kesemuanya adalah ciptaan 6ixth Sense. Lagu yang dimuatkan adalah Sebuah Maksud, Manisnya Cinta dan 7 Kali Malam Minggu yang dipersembahkan 6ixth Sense. Pelarian dan Melepaskanmu pula memperkenalkan Sakura Band untuk meraih keselesaan dalam industri muzik.

Dua lagu iaitu Sumpah Mencintai Sumpah Merindui dan Selalu Denganmu menjadi taruhan Cherpen Band, manakala bakat baharu, Zara Ali menyandar harapan kepada Terlarut Waktu.


ALBUM Acoustic Presents Piano Love Songs.

Petikan piano bangkitkan dramatik

Album: Acoustic Presents Piano Love Songs

Artis: Variasi

Genre: Akustik

Edaran: Warner Music

Album ini memuatkan 32 lagu popular, namun untuk menambah keistimewaan setiap komposisi diperkemaskan dengan iringan petikan piano yang melarutkan pendengar dalam alunan indah. Diberi interpretasi baharu, petikan piano menambah unsur dramatik pada setiap lagu yang membangkitkan emosi pendengar.

Himpunan lagu balada menyentuh emosi menjadi tunggak yang menguatkan pengisian album ini. A Thousand Years nyanyian Christina Perri, When I Was Your Man (Bruno Mars), Lost (Michael Buble) dan Somewhere Only I Know (Lily Allen) adalah antara sentuhan yang digarap penuh dramatik.

The Power Of Love daripada Gabrielle Aplin masih tidak jemu dihayati. Alunannya yang sarat emosi menjadikan lagu yang diperkenalkan pada tahun 2012 menjentik rasa. Nyanyian Ed Sheran yang membawakan Wake Me Up melarutkan pendengar dengan keampuhan suaranya yang mengasyikkan.

Kompilasi ini juga tidak meminggirkan himpunan lagu balada malar segar yang terus menjadi igauan pendengar. Goodbye daripada Air Supply, selain petikan piano Jim Brickman mengiringi nyanyian Martina McBride mengalunkan Valentine meniupkan rasa cinta yang tidak pernah padam.

Mengisi hampir keseluruhan daftar lagu balada, album ini menyajikan hiburan maksimum terutama kepada pendengar yang meminati lagu perlahan. Pilihan lagu yang digarap kemas tidak menyukarkan peminat untuk berulang kali mendengar kerana ia tidak pernah menjemukan.

Lagu lain yang turut memberi kekuatan kepada album ini adalah I Will Remember You nyanyian Sarah McLachlan; Mr Curiosity (Jason Mraz); 25 Minutes (Micheal Learns To Rock); Trouble (Coldplay); Fire and Rain (Birdy); I'll Standy By You (Pretenders) dan Promise Me (Beverly Craven).


ALBUM Time, Mikky Ekko.

Time serlah potensi Mikky Ekko

Album: Time

Artis: Mikky Ekko

Genre: Pop

Edaran: Sony Music Entertainment

Terlebih dulu membina populariti apabila bekerjasama dengan Rihanna menerusi Stay pada tahun 2013, bakat besar Mikky Ekko tidak dipersia-siakan. Barangkali populariti Stay lebih berpihak kepada Rihanna, namun keampuhan bakatnya membuatkan label naungannya berusaha untuk memanipulasi kelebihan yang dimilikinya.

Time mewakili apa yang dicari Ekko, menyerlahkan seluruh potensi dirinya yang mengumpan peminat dengan alunan vokalnya yang mengalir mengesankan. Smile menjadi taruhan Ekko dan pilihannya itu tidak tersasar kerana lagu itu memberi petanda positif kehadirannya bukan sekadar persinggahan.

Menelusuri keseluruhan album yang mengisi 12 lagu ini, Time menjanjikan perjalanan yang mengasyikkan menerusi pilihan lagu yang menyerlahkan potensi sebenarnya. Setiap lagu digarap kemas, malah memberikannya ruang untuk menonjolkan segala kelebihan yang membantu Ekko untuk berdiri selesa.

Album ini dibuka dengan trek yang mantap. Watch Me Rise bagaikan luahan hatinya untuk memberitahu umum, kemunculannya bakal membekas di hati ramai. Keupayaan vokalnya tidak perlu dinafikan, malah trek pertama ini membantu pendengar untuk lebih mengenali siapa dirinya.

Smile yang mengisi trek kedua membantu mengukuhkan lagi kehadirannya. Ia tidak jemu didengar. Sisi 'nakal' dirinya dapat dilihat pada trek ketiga, Love You Crazy manakala U dan Time memperkenalkan peminat kepada peralihan vokalnya yang mengalir tenang serta mengasyikkan.

Sedikit menarik kerana pengisian yang pelbagai membuatkan Time tidak jemu diteroka. Umpama menyelak helaian yang menyajikan pelbagai cerita berbeza, Time menghadirkan himpunan lagu yang tidak bosan diputar berulang kali. Sarat kualiti, Time menjanjikan permulaan mengesankan kepada Ekko untuk bertapak kukuh dengan keampuhan bakatnya.

Berita Harian X